PRK Mahkota: UMNO nafi wujud krisis dalaman

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

KLUANG - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menyangkal sekeras-kerasnya wujud krisis dalaman parti itu ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota sehingga berlakunya protes dalam proses berkempen.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Kelantan menegaskan, dakwaan berlakunya konflik sesama sendiri adalah provokasi yang cuba diwujudkan pihak luar.

Jelas beliau, menerusi pertemuan bersama Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday sendiri, kepimpinan kawasan itu menyatakan keinginan agar kemenangan lebih besar dapat diperoleh calon Barisan Nasional (BN) dan dizahirkan menerusi gerak kerja jentera yang tidak berbelah bahagi.

"Tak ada isu (krisis) langsung...desas-desus mengatakan masalah dalaman ini adalah satu provokasi daripada pihak luar.

"Mungkin nak melemahkan atau menurunkan sedikit moral jentera-jentera yang datang membantu," katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini pada Selasa.

Pada masa sama, Ahmad Jazlan juga menyangkal wujudnya isu peruntukan melibatkan jentera PRK DUN Mahkota.

"Tak, tak ada setakat apa yang saya tahu (isu peruntukan), saya juga ada bertemu dengan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Pilihan Raya, Datuk Onn Hafiz Ghazi beliau maklumkan peruntukan berjalan dengan elok.

"Jadi soal peruntukan ini langsung tidak timbul dan setiap jentera apa yang saya lihat sehingga hari ini berjalan dengan baik....saya tak dengar pun mereka merungut tentang kekurangan, maksud saya ialah sedikit sebanyak untuk perbelanjaan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini difahamkan gerak kerja kempen PRK DUN Mahkota didakwa berdepan konflik dalaman UMNO kononnya terkait isu protes dan kekangan peruntukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!