Aniq unggul raih emas di Fiji
JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mengubat kecewa setelah terlepas pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris apabila mengungguli kategori 61 kilogram (kg) Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji pada Selasa.
Malah lebih membanggakan badang berusia 22 tahun itu membaharui rekod kejohanan dan peribadi menerusi angkatan keseluruhan 298 kilogram (kg).
Atlet dari Segamat, Johor itu menyempurnakan angkatan 131 kg bagi snacth, manakala 167 kg bagi clean & jerk sekali gus memadam rekod lama 297 kg yang dilakukan di Paris Ogos lalu.
Perkembangan tersebut dikongsi Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menerusi laman sosial.
"Tahniah saudara Aniq menang emas acara 61 kg senior. Alhamdulillah kem angkat berat Malaysia yang mencatat kejayaan cemerlang pada hari pertama di Fiji," catat beliau menerusi Facebook.
Pada Sukan Olimpik bulan lepas, Aniq dipisahkan dengan bebanan 1 kg untuk meraih podium apabila Morris Hampton dari Amerika Syarikat berjaya mengangkat bebanan 298 kg untuk meraih gangsa.
Dalam pada itu, Mohd Rahimi Sulaiman pula mengungguli kategori 55 kg menerusi bebanan keseluruhan 228 kg.
"Satu permulaan yang baik, namun perlu bekerja keras lagi dalam tempoh setahun ini menjelang Sukan Komanwel 2026 bagi gantikan Aniq," ujar Ayub.
Selain Aniq dan Mohd Rahimi, Malaysia turut menghantar tiga lagi wakil ke kejohanan tersebut iaitu Mohd Amin Shukry (61 kg), Muhamad Aznil Bidin (67 kg) dan Muhammad Erry Hidayat (73 kg).
Kem angkat berat negara turut disertai atlet wanita, Nurul Syasya Samsur yang berusia 15 tahun dalam kategori 59 kg serta Syazawani Radzi (64 kg).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!