Perak ceburi industri gelatin halal
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) terokai pasaran halal global apabila memeterai perjanjian usaha sama dengan syarikat pengeluar produk gelatin halal antarabangsa, Leiner Gelatine Sdn Bhd dari Pakistan.
Usaha sama itu melibatkan anak syarikatnya, Ladang Lekir Sdn Bhd merupakan inisiatif menjadikan Perak sebagai pemain utama pengeluaran produk halal khususnya industri gelatin yang ketika hanya mewakili sekitar tujuh peratus daripada pengeluaran produk halal dunia.
Melalui usaha sama strategik itu, kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan industri itu dengan menyasarkan peningkatan peratusan penggunaan dan pasaran gelatin halal dalam negara serta global sekaligus meletakkan Perak dan Malaysia sebagai pemain utama industri gelatin halal global.
Majlis pertukaran perjanjian usaha sama itu berlangsung sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Halal Malaysia (MIHAS) 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC) di sini pada Selasa.
Pada majlis tersebut, Ladang Lekir Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Ahmad Yani Aminuddin manakala Leiner Gelatine Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Khawaja Ahmed Hassan sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani yang juga Pengerusi Perak SADC berkata, pasaran global gelatin mencatatkan nilai AS$3.7 bilion (RM15.91 bilion) pada tahun 2023 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 6.6 peratus dari tahun 2023 hingga 2028.
"Daripada jumlah ini, hanya kira-kira tujuh peratus merupakan gelatin halal. Dengan potensi besar industri ini di peringkat global, Perak melalui SADC mahu mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri strategik ini.
"Di Malaysia, import gelatin halal mencecah 2,800 tan metrik setahun bernilai kira-kira RM130 juta yang mana 30.8 peratus daripadanya atau RM40 juta adalah dari Pakistan," katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!