PRK Mahkota: Tiada calon, Amanah tetap bantu kempen
PASIR PUTEH - Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) sudah bersedia menjalankan tugas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, mereka mahu mengulangi kejayaan besar di DUN Nenggiri pada Ogos lalu.
"Walaupun tiada ahli dari Amanah terpilih sebagai calon namun kita sedia membantu di mana-mana PRK dengan memberi sokongan cukup padu seperti di Nenggiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan memberi sumbangan kepada anak nelayan, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20, di Kampung Air Tawar pada Selasa.
Muhammad Faiz memberitahu, usaha semua jentera daripada gabungan Kerajaan Perpaduan memberi peluang lebih besar untuk memenangi PRK DUN Mahkota.
Pada PRK itu, Barisan Nasional (BN) memilih Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz memberitahu, nelayan yang mengalami masalah pada musim tengkujuh akan menerima bantuan sara hidup berjumlah RM300 sebulan.
Jelasnya, bantuan itu dapat menampung perbelanjaan harian nelayan apabila berlaku peralihan monsun yang mungkin turut mengakibatkan banjir serta angin kencang.
"Nelayan pesisir pantai mungkin terkesan dalam tempoh musim tengkujuh tetapi vesel yang besar masih mampu pergi ke laut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!