Ingati pengorbanan Tentera Darat
BULAN ini genap tujuh tahun peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang menyaksikan buat pertama kali kuasa ketenteraan negara dikerah selepas peletakan senjata gerila Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember 1989.
Pencerobohan Lahad Datu bermula pada 9 Februari 2013 melibatkan kira-kira 235 tentera Angkatan Kesultanan Sulu dan Borneo Utara memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat-peringkat di Felda Sahabat.
Pertempuran antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil penceroboh ini kemudian berlaku pada 1 Mac disusuli serangan pihak tentera yang dilancarkan empat hari kemudian bagi mengusir musuh.
Tunjang utama semasa Ops Daulat ialah Tentera Darat (TD) dibantu lain-lain pasukan keselamatan.Sepanjang operasi ini kira-kira tujuh batalion infantri TD terlibat menggempur dan menggeledah seinci demi seinci bumi Lahad Datu untuk mengusir musuh sehinggalah Ops Daulat diisytiharkan tamat.
Pencerobohan ini juga memperlihatkan soal pertahanan darat di Malaysia Timur terutamanya Sabah perlu diperkasakan, lantas TD menubuhkan Task Force 450 pada tahun 2014 yang kemudian menjadi nukleus bagi penubuhan Divisyen Kelima Infantri pada September lalu.
Divisyen ini yang menaungi Briged Kelima Infantri bertempat di Kem Paradise, Kota Belud dan Briged ke-13 Infantri (Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu) kini menjadi benteng pertahanan TD di Negeri Di Bawah Bayu. 13 Briged terletak di Kem Cenderawasih, Lahad Datu.
Penubuhan divisyen baharu ini juga sejajar dengan keperluan memperkemas struktur organisasi TD untuk mempertahankan dua wilayah serentak melibatkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur.Bagi pertahanan di Sarawak pula, tugas digalas oleh Divisyen Pertama Infantri yang menaungi Briged ke-3 Infantri, Briged ke-9 Infantri dan Briged ke-31 Infantri.
Susulan pencerobohan ini juga kerajaan telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 7 Mac 2013 bagi memperkuatkan lagi keselamatan maritim di sebelah sana selain mewujudkan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).
Konsep jelajah
Sebab itu pemilihan Sabah sebagai lokasi sambutan Hari TD ke-87 pada tahun ini yang akan disambut pada 1 Mac memberi signifikan besar khususnya bagi memperingati pencerobohan tersebut. Buat julung-julung kalinya juga sambutan diadakan menerusi konsep jelajah Konvoi Kumpulan Tempur TD.
Ia melibatkan sebanyak 29 buah kenderaan tempur pelbagai jenis antaranya AV8 Gempita dan Lipan Bara, kenderaan pembawa senjata, meriam serta aset logistik dengan kekuatan kira-kira 200 pegawai dan anggota.
Konvoi berkenaan bertujuan mempamerkan ketumbukan TD di Sabah melalui jelajah ke beberapa bandar utama sejak 21 Januari lalu bermula di Semporna diikuti Lahad Datu, Sandakan, Kudat, Kota Belud dan berakhir di Kota Kinabalu pada 1 Mac.
Konvoi tempur ini akan berhenti di lokasi tersebut selama dua hari untuk mengadakan pameran termasuklah pertunjukan payung terjun, pancaragam dan promosi pengambilan anggota sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.
Bertemakan TD Bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa, ia juga bagi memperlihatkan angkatan ini sebagai sebahagian daripada ejen pembangunan sosioekonomi di negeri tersebut.
Selain tanggal 1 Mac, pasukan ini turut meraikan tarikh 14 Februari setiap tahun yang telah ditetapkan sebagai Hari Pahlawan peringkat TD bagi memperingati dan menghargai pejuang yang gugur mempertahankan negara.
Ia sempena tarikh gugurnya pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Adnan Saidi pada 14 Februari 1942 di Bukit Candu, Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua.
Sambutan ini termasuk bagi memperingati jasa serta pengorbanan semua pejuang khususnya warga TD yang terkorban tanpa mengira status dan pangkat demi mempertahankan kedaulatan negara.
*Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!