12 kumpulan ajaran sesat

No Image Caption
A
A
A

GERAKAN ajaran sesat di Malaysia membawa definisi fahaman bertentangan daripada ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ajaran yang bertentangan dengan Islam ini mula dikesan sekitar tahun 1950-an.

Kebanyakan fahaman ini mendakwa bahawa mereka membawa ajaran Islam sebenar sehingga mengatakan selain daripada ahli ajaran yang dianuti itu adalah kafir.

Secara dasarnya, ajaran sesat boleh diketahui berdasarkan ciri-ciri fahaman yang dibawa seperti mempersenda, menghina dan ingkar kandungan al-Quran serta menyamakan agama Islam dengan agama lain.

Sinar Harian senaraikan antara 12 ajaran sesat yang pernah direkodkan.

1. Al-Arqam

No Image Caption

Al-Arqam merupakan ajaran di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad pada tahun 1968.

Artikel Berkaitan:

Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh Malaysia dan beberapa negara luar.

Ajaran ini berfahaman bahawa solat Jumaat tidak wajib dan mendakwa Ashaari tidak perlu kitab dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ilmu itu datang terus daripada ALLAH SWT dalam bentuk ilham.

Ia diwartakan sesat pada 21 Disember 2006.

Ashaari merupakan Pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd yang kemudiannya ditukar nama kepada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebelum meninggal dunia pada 2010.

2. Fatwa Ilmu Salah

Ia diasaskan oleh Kahar Ahmad dan beroperasi serta dikembangkan berpusat di rumahnya yang terletak di Kampung Kemensah Hulu Klang.

Fahaman ini difatwakan sesat pada 29 Ogos 1991 kerana Kahar mengaku dirinya sebagai Rasulullah SAW atau utusan daripada ALLAH.

Bukan itu sahaja, dia mengaku menerima wahyu daripada ALLAH yang diturunkan di Bukit Kemensah sama seperti yang diterima oleh Rasulullah SAW.

3. Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya

Diketuai oleh Kadirun Yahya yang beroperasi di Surau Darul Amin, Hulu Selangor. Ajaran ini diwartakan sesat pada 14 September 1995 kerana ia salah tafsir ayat al-Quran.

Kemudian, menggabungkan roh untuk dapat wasilah kepada Rasulullah SAW dan terus kepada ALLAH SWT.

4. Millah Abraham

AJARAN yang telah difatwakan haram di Johor itu mempunyai kefahaman yang mana ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.

5. Kerajaan langit


Ayah Pin telah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua.
Ayah Pin telah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua.

Diperkenalkan oleh Ariffin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin yang menyatakan dirinya sebagai Tuhan. Dia juga disebut sebagai bapa oleh pengikutnya yang percaya bahawa dia adalah utusan dari syurga.

Pada tahun 1997, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

6. Ajaran Islam Jamaah

Kumpulan ini mendakwa hanya ajaran ini sahaja mengamalkan cara Islam sebenar dan beranggapan bukan ahli sebagai kafir.

Dari sudut syariah, ajaran tersebut menolak sumber hukum ijmak dan qias, menganggap mughallazah tidak perlu disamak, melakukan solat Jumaat di rumah dan mengeluarkan hukum mana-mana binatang yang mati di kawasan orang Islam halal dimakan.

Ajaran Islam Jamaah diwartakan sesat pada 24 September 1998.

7. Fahaman Wahdatul Wujud

Diasaskan oleh Ibnu Arabi. Antara ciri kesalahan ajaran ini adalah mendakwa dalam diri setiap manusia ada Tuhan maka perlu untuk menyembah diri sendiri.

Sementara itu, Wahdatul Wujud turut memiliki fahaman bahawa syurga dan negara seperti yang dinyatakan dalam al-Quran itu tidak wujud. Ajaran ini diwartakan sesat pada 5 Julai 2001.

8. Tarikat Al-Hasaniah

No Image Caption

Berdasarkan warta yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri Selangor, Tarikat Al-Hasaniah adalah diharamkan kerana menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar pada 28 Ogos 2003.

Majlis Fatwa Negeri Sabah turut mengeluarkan warta ajaran tersebut sesat pada September 2005.

Ajaran ini mendakwa cahaya yang kuat itu datang daripada Rasulullah SAW dan diberikan kepada murid kanannya. Melalui cahaya tersebut segala hijab akan terbuka dan boleh menembusi alam ghaib.

Seterusnya, ahli-ahli kanan tarikat mendakwa guru mereka membawa melawat syurga, neraka dan padang mahsyar

9. Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII)

No Image Caption

NII difatwakan sesat kerana dari segi akidah ia membuat pembahagian tauhid bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)

Bukan itu sahaja, hanya pengikut ajaran ini sahaja dianggap beragama Islam dan berpegang kepada ASWJ manakala yang lain tidak salah Islamnya.

Ia diwartakan sesat pada 16 Mac 2011.

10. Syiah

Ajaran ini berkembang melalui pertubuhan Hauzah Ar-Ridha yang diketuai oleh Mohamad Kamil Zuhairi Abd Aziz.

Ia hanya mempercayai Saidina Ali sahaja menghimpun al-Quran dengan sempurna dan menolak kitab suci yang disusun oleh para sahabat nabi yang lain.

Syiah juga menolak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah SAW dan menerima hadis yang diriwayatkan oleh para Imam 12.

Ia diwartakan sesat pada 17 Oktober 2013.

11. Kumpulan Militan Islamic State (IS)

No Image Caption

Merupakan pecahan daripada organisasi al-Qaeda yang berpusat di Afghanistan.

Kumpulan ini berjaya menarik anak-anak muda Islam dari seluruh rantau dunia termasuk Malaysia yang telah menyertai kumpulan penentang kerajaan dan kumpulan militan di Syria sejak konflik di negara itu bermula pada tahun 2011.

Kumpulan ini berpegang kepada fahaman untuk memerangi negara selain IS kerana beranggapan bahawa negara kafir wajib untuk diperangi.

Ia diwartakan sesat pada 3 Februari 2016 oleh kerajaan negeri Selangor.

12. The Ahmadi, Religion of Light and Peace

No Image Caption

Ajaran ini menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.

Agama itu juga mempunyai pengikut dan bishop yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!