Sungai tercemar beri imej buruk
DENGAN kepadatan penduduk mencecah 600,000 orang, Sungai Petani yang merupakan bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar, kini sedang pesat membangun.
Bagaimanapun, pencemaran sungai di Sungai Petani yang terletak di pusat bandar, telah memberikan kesan terhadap persekitaran dan penduduk setempat.
Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat kali ini, Wartawan Sinar Harian, SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA meninjau situasi di sungai itu dan menyelami suara hati penduduk setempat berhubung isu berkenaan.
Pencemaran sungai di Sungai Petani telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib.
Peniaga, Hafiz Ali, 25, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sungai itu dipenuhi lumpur dan berbau busuk.
“Saya tengok tak adalah sampah tetapi bau ada dan buat kita kurang selesa bila dekat.
“Bau mungkin sebab selut tapi tiada sampah, kiranya macam sungai selut. Ada orang berniaga dekat situ tetapi saya rasa tak kacau sebab sampah tak buang ke sungai,” katanya kepada Sinar Harian.
Pelajar kolej, Norfadhlin Sakina Mohd Zambari, 20, pula berkata, kekotoran di sungai jelas kelihatan dan sememangnya disedari penduduk.
“Memang tak sedap mata memandang. Apa yang ketara ialah pencemaran bau. Dari kedai-kedai makan di sepanjang tebing sungai dari pekan Sungai Petani sehingga Pekan Baru pun masih dapat hidu bau busuk.
“Saya pernah makan di gerai tak jauh dari sungai, baunya tak perlu ceritalah. Mungkin datang dari Sungai Petani,” katanya.
Ujarnya, keadaan itu boleh mengundang persepsi negatif dalam kalangan pengunjung luar.
Katanya, ia juga mencemarkan imej Sungai Petani yang terkenal dengan tempat-tempat makanan tular.
“Ada pelancong sanggup datang ke Sungai Petani semata-mata ingin merasai makanan-makanan enak tersebut jadi saya harap sungai yang tercemar ini dipulihkan,” kata Norfadhlin.
Menurutnya, pihak berwajib perlu memberikan perhatian kepada kerja-kerja kebersihan sungai, bukan hanya untuk mengindahkan bandar tetapi menarik ramai pengunjung luar.
Sementara itu, penjawat awam, Khairatul Atiqah Husin, 36, berkata, dalam keadaan kepesatan pembangunan dan kecanggihan teknologi, tidak wajar sungai yang tercemar itu dibiarkan tanpa sebarang tindakan.
Katanya, keadaan permukaan air sungai berwarna hitam dan berkelodak.
“Dahulu, air menjadi laluan utama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Saya percaya sungai ini juga merupakan laluan terpenting memandangkan Sungai Merbok yang tidak jauh dari sini adalah laluan pedagang dan pelabuhan paling sibuk,” katanya.
Malah katanya, Sungai Batu yang menjadi tempat peleburan besi yang diiktiraf sebagai Tamadun Awal Asia Tenggara hanya terletak kira-kira 30 kilometer dari sini.
“Sungai di Sungai Petani juga pasti ada sejarah tersendiri untuk kita terokai jadi ia perlu dipulihkan, dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu tarikan pengunjung,” katanya.
Penduduk tuntut tindakan, penguatkuasaan tegas
Pekerja swasta, Syamimi Suhaimi, 22, berkata, penduduk di Sungai Petani mahu sungai yang bersih dan cantik.
Menurutnya, menjaga kebersihan sungai juga merupakan tanggungjawab setiap individu dan bukannya terletak di bahu pihak berwajib semata-mata
Bagaimanapun katanya, pihak berwajib diminta tegas dalam menjalankan penguatkuasaan bagi mengelak dan mengatasi isu pencemaran sungai di Sungai Petani
“Buatlah aktiviti bersama seperti gotong-royong pembersihan ke kawasan berdekatan sungai agar setiap warganegara tahu peranan masing-masing dalam memelihara alam sekitar.
“Orang lain tengok sungai kotor, busuk dan tercemar. Dekat sini ada juga kedai makan, perumahan, bangunan rumah kedai, stesen bas, teksi dan tak jauh dari pasar raya yang menjadi tumpuan ramai,” katanya.
Ujarnya, walaupun kedudukan sungai itu agak terlindung, ia merupakan nadi Sungai Petani.
“Bila orang bertanya di manakah sungai di Sungai Petani, kita boleh tunjukkan kepada mereka tetapi malangnya, ia berbau busuk dan kotor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!