Pengumpul imej lucah kanak-kanak terlepas hukuman penjara
LONDON - Bekas penyampai berita BBC yang pernah menjadi wajah stesen TV Britain itu 'terlepas' hukuman penjara berhubung gambar tidak senonoh kanak-kanak.
Huw Edwards, 63, dihukum penjara enam bulan yang digantung selama dua tahun yang bermaksud dia tidak akan menjalani hukuman tersebut selagi tidak melakukan kesalahan sama sepanjang tempoh tersebut.
Pada Isnin, Ketua majistret, Paul Goldspring di Mahkamah Majistret Westminster di tengah London berkata, dia berisiko 'mencederakan diri sendiri' jika meringkuk di dalam penjara.
"Edwards telah menunjukkan penyesalan atas perbuatannya. Dia juga perlu menjalani program rawatan untuk pesalah seks selama 40 hari dan pemulihan selama 25 hari," ujarnya lagi.
Dia juga tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan dibuat hakim malah meninggalkan kamar mahkamah tanpa memberi kenyataan kepada media.
Reputasi Edwards tercalar sejak Julai lalu selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan pemilikan gambar seksual kanak-kanak antara Disember 2020 dan Ogos 2021.
Perdana Menteri, Keir Starmer turut terkejut dengan skandal memalukan itu kerana ia melibatkan personaliti terkenal yang pernah diberi penghormatan untuk mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth II pada September 2022.
Edwards mengakui menerima 41 gambar tidak senonoh kanak-kanak melalui WhatsApp yang dihantar pedofilia berusia 25 tahun termasuk tujuh imej eksplisit.
Kebanyakan gambar itu melibatkan mangsa berusia antara 13 dan 15 tahun serta tujuh dan sembilan tahun.
Edwards pertama kali ditahan pada November lalu, namun kes menggemparkan itu hanya didedahkan kepada umum pada akhir Julai lalu.
Pada April lalu, dia meletak jawatan daripada BCC atas sebab 'saranan doktor' selepas empat dekad bersama stesen penyiaran popular itu.
Difahamkan, BBC telah berdepan skandal melibatkan nama besar sebagai pesalah seks termasuk Jimmy Savile yang didakwa melakukan serangan seksual ke atas ratusan gadis selama beberapa dekad.
Perbuatan itu bagaimanapun hanya terbongkar selepas kematiannya pada 2011. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!