Inovasi 10 'abang bomba'

Mohd Azmi (kiri) dan ahli pasukan Rantau Mas menguji sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran itu.
Mohd Azmi (kiri) dan ahli pasukan Rantau Mas menguji sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran hasil ciptaan sepasukan pegawai dan anggota bomba Rantau Panjang serta Pasir Mas bakal menjadi satu lagi inovasi baharu bagi membantu mengurangkan kadar kematian akibat kebakaran.

Lebih menarik, hasil gabungan idea 10 ahli pasukan yang dinamakan Rantau Mas itu akan dipertandingkan sempena sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Negeri Sembilan bulan hadapan.

Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azmi Hussin berkata, inovasi yang dilengkapi dengan tangki sebatian buih serta alat semburan itu menggunakan sistem khas bagi membolehkan semburan secara automatik jika berlaku kebakaran.

Mohd Azmi menunjukkan sebahagian alat yang digunakan dalam penghasilan sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran.
Mohd Azmi menunjukkan sebahagian alat yang digunakan dalam penghasilan sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran.

"Penghasilan alat menggunakan penyembur seberat kira-kira 8 gram manakala tangki sebatian buih bergantung pada luas dan besar kenderaan," katanya.

Mohd Azmi yang berpengalaman lebih 11 tahun dalam bidang forensik jabatan berkenaan memberitahu, alat itu terhasil selepas mendapati ramai pemandu yang tidak sedar kenderaan mereka mengalami pemanasan secara tiba-tiba.

"Mungkin ada pemandu yang panik apabila berada di atas jalan raya gagal bertindak keluar dari kenderaan menyebabkan mereka menjadi mangsa.

"Ada juga kenderaan yang diparkir mengalami masalah dan terbakar di bahagian tertentu tanpa pengetahuan pemilik selain sikap individu yang gemar melakukan penambahan pendawaian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, alat itu boleh dipasang di semua bahagian kenderaan terutama berdekatan bateri, alternater, ekzos dan fius kerana mudah berlaku percikan api.

Mohd Azmi bersama sebahagian ahli Rantau Mas yang bersama mencipta sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran.
Mohd Azmi bersama sebahagian ahli Rantau Mas yang bersama mencipta sistem pengesanan dan pemadaman kebakaran.

"Ia secara automatik mengesan haba panas dan mengeluarkan buih untuk memadamkan api sekali gus dapat mengelakkan kebakaran dan risiko pemandu rentung," katanya.

Tambah Ketua Balai Bomba Pasir Mas itu, sistem berkenaan juga menjadi alternatif mudah kepada pemandu yang kurang kesedaran untuk menyediakan alat pemadam api sedia ada di dalam kenderaan.

Mohd Azmi berkata, bagi penghasilan alat yang mampu berdaya saing, mereka berbincang dengan beberapa pakar automotif termasuk dari Giat Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).

"Kos keseluruhan ialah RM2,000 hasil usaha pasukan dan kami menggunakan kereta sorong untuk menguji sistem berkenaan sebelum ujian sebenar ke atas kenderaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!