Peniaga kosmetik ditahan kes tipu pelaburan jual beli 'due kutu'
BESUT - Seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud ditahan polis di sebuah rumah di sini Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek berusia 31 tahun yang merupakan peniaga kosmetik itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Terengganu di Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, dekat sini kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dijalankan setelah pihak polis menerima 17 laporan dibuat oleh mangsa yang mendakwa terjebak dalam penipuan 'jual beli due kutu' sehingga mengalami kerugian RM151,945.
"Siasatan lanjut ke atas suspek mendapati wanita itu mengaku telah menawarkan pelaburan dikenali sebagai jual beli 'due kutu' secara bersendirian yang diiklankan melalui status aplikasi WhatsApp miliknya bermula April 2023 sehingga 17 September 2024.
"Pada awalnya suspek menawarkan pelaburan berbentuk 'kutu' tetapi telah diubahsuai dengan nama 'due kutu' kerana mendapat sambutan tinggi," katanya di sini, pada Rabu.
Abdul Rozak berkata, jumlah keuntungan ditawarkan suspek ditentukan sendiri olehnya serta tidak pernah menetapkan peratusan keuntungan bagi setiap jumlah pelaburan ditawarkan.
"Suspek menerima wang pelaburan secara tunai atau kemasukan wang melalui akaun bank miliknya daripada mangsa yang terpedaya dengan pelaburan itu.
"Kebanyakan mangsa terlibat dalam pelaburan tersebut merupakan kenalan dan pelanggan perniagaan kosmetik suspek sendiri," jelas beliau.
Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan memuat naik status WhatsApp dengan tajuk 'bayar RM500 terima RM550, untung RM50' dan 'bayar RM1,000 terima RM1,200, untung RM200' dan 'makin banyak bayaran, makin besar keuntungan yang akan diperolehi'.
"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu membuat pindahan bayaran ke empat akaun bank berasingan milik suspek.
"Terdapat juga mangsa yang membayar wang dalam bentuk tunai kepada suspek.
"Bagaimanapun, mangsa berasa ditipu kerana tidak menerima bayaran balik keuntungan sebagaimana dijanjikan pada tempoh masa ditetapkan oleh suspek," katanya.
Abdul Rozak berkata, suspek ditahan reman selama dua hari bermula Rabu bagi membolehkan siasatan berhubung kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Pihak polis masih mengumpul bukti-bukti keterangan bagi tujuan pendakwaan berhubung kegiatan penipuan pelaburan yang dijalankan secara bersemuka dan dalam talian tersebut.
"Sehubungan itu, orang ramai yang menjadi mangsa penipuan tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!