[VIDEO] Anggota GISBH mohon ikat jamin dikurangkan, tanggung 10 anak tiga isteri
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) memohon ikat jamin ke atasnya dikurangkan kerana mempunyai tanggungan yang ramai.
Lelaki berkenaan Mohamad Riza Makar,39 dalam rayuannya memberitahu perlu menanggung tiga isteri serta sepuluh anak.
Dia yang merupakan seorang peniaga turut memaklumkan salah seorang isteri baharu melahirkan anak sebulan lalu, yang kelahirannya belum sempat didaftarkan lagi.
Selain itu lelaki itu memberitahu terbeban disebabkan cuti sekolah apabila perlu menyediakan dana untuk aktiviti dan persiapan pembukaan sekolah anak-anak.
Pada Rabu, Mohamad Riza mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan terhadap seorang wanita.
Pengakuan itu dibuat oleh Mohamad Riza Makar, 39, dihadapan Majistret, Ahmad Afiq Hasan di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu menakutkan secara jenayah ke atas wanita berusia 25 tahun di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 9 September lalu.
Lelaki tersebut didakwa menakutkan wanita itu dengan mengatakan 'kami tahu dekat mana rumah suami dan keluarga', dengan niat hendak menyebabkan kegentaran supaya bekas ahli GISBH itu untuk menarik balik laporan polis.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit salah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam, Zulfikri Ulul Azmin.
Semasa proses pendakwaan, Mohd Sabri memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin ke atas tertuduh selain pasport diserahkan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan l
Bagaimanapun, peguambela memohon kadar tersebut dikurangkan susulan ugutan itu berbentuk ringan, bukan ugutan bunuh atau mencederakan.
Zulfikri dalam hujahannya turut berkata, kadar dikenakan itu juga terlalu tinggi kerana tertuduh berpendapatan RM4,000 sebagai sebagai peniaga dan mempunyai tanggungan tiga isteri serta sepuluh anak.
Susulan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan tertuduh tidak boleh mendekati pengadu serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga sebutan kes itu pada 18 Oktober ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!