197 panggilan buaya sesat sejak 2019

Jabatan Perhilitan Selangor menerima panggilan berhubung keberadaan seekor buaya tembaga di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.
Jabatan Perhilitan Selangor menerima panggilan berhubung keberadaan seekor buaya tembaga di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima 197 panggilan aduan kehadiran buaya bagi tempoh lima tahun sejak 2019.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, statistik itu direkodkan setakat tahun lalu.

"Mengikut pecahan, tahun 2019 merekodkan 14 aduan, 2020 (33 aduan), 2021 (43 aduan), 2022 (58 aduan) dan 2023 (49 aduan).

"Lokasi tangkapan reptilia ini melibatkan lokasi seperti tasik dan lombong selain turut direkodkan di longkang, parit serta tali air," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor reptilia ini sesat di sesuatu kawasan antaranya kenaikan paras air yang menyebabkan limpahan air sungai yang menjadi habitat asal buaya dan kawasan tebing sungai iaitu habitat asal buaya terganggu oleh kesan aktiviti pembinaan atau pembersihan kawasan.

Katanya, selain itu, populasi sedia ada semakin meningkat dan menyebabkan buaya merayau keluar dari habitat asalnya.

"Perhilitan juga tidak menolak sebarang kemungkinan pelepasan reptilia ini ke kolam, tasik atau lombong oleh individu tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Jelas beliau, tahun ini (setakat 6 September), sebanyak 14 ekor buaya tembaga berjaya ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Kadir, pihaknya menangani kes dengan pemantauan kawasan habitat buaya dan penilaian risiko aduan buaya, pemasangan papan tanda amaran di kawasan habitat asal buaya selain aktiviti kesedaran awam kepada penduduk.

"Orang awam dinasihat untuk mengelakkan daripada mengadakan aktiviti berhampiran sungai yang mempunyai populasi buaya, tidak hampiri sarang buaya atau cuba menangkap anak buaya serta berhati-hati semasa melalui kawasan bercetek, turun atau menaiki bot.

"Sekiranya ternampak buaya, segera laporkan kepada Perhilitan di talian 1-800-88-5151," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seekor buaya tembaga sepanjang 1.68 meter dengan berat kira-kira 20 kilogram berjaya ditangkap di Taman Tasik Seksyen 7 Shah Alam, Selangor, 4 September lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!