Sembilan maut, Lubnan umum tutup sekolah dan institusi pendidikan
BEIRUT - Lubnan pada Selasa mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara pada Rabu, susulan letupan alat kelui atau ‘pager’ yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa dan mencederakan ribuan yang lain, lapor Agensi Anadolu.
"Kami mengumumkan penutupan sekolah awam dan swasta, Universiti Lubnan dan semua institusi pengajian tinggi swasta pada Rabu sebagai kecaman terhadap tindakan jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat,” kata Menteri Pendidikan Lubnan, Abbas Halabi.
Beliau juga menyeru "masyarakat global untuk menghentikan mesin pembunuh Israel, yang tidak menunjukkan belas kasihan atau perbezaan dan telah melakukan jenayah kolektif yang belum pernah terjadi terhadap rakyat Lubnan.”
Sementara itu, Menteri Kesihatan Firas Al-Abiad berkata, sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam insiden letupan di beberapa kawasan di Lubnan pada Selasa.
Kira-kira 2,750 lagi cedera, dengan 200 daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Hizbullah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua anggotanya terbunuh dan ramai lagi cedera dalam kejadian itu.
"Kira-kira 3.30 petang (1.30 tengah hari GMT) Selasa, 17 Sept 2024, beberapa alat kelui yang digunakan oleh pelbagai unit dan institusi Hizbullah meletup,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian itu dan berikrar untuk membalas dendam kepada Tel Aviv.
Kementerian Kesihatan Lubnan sebelum ini menggesa semua rakyat yang memiliki peranti komunikasi itu supaya segera membuangnya.
Letupan besar-besaran berlaku di tengah-tengah serangan balas rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!