'Suami tiada musuh, keluarga tuntut keadilan' - Isteri mangsa bunuh

Mayat mangsa ditemui dalam but kereta yang diparkir di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini pada Isnin.
Mayat mangsa ditemui dalam but kereta yang diparkir di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Isteri kepada mangsa bunuh yang mayatnya ditemui dalam but kereta diparkir di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini pada Isnin, mengakui masih bersedih dan menuntut keadilan buat mereka sekeluarga.

Wanita berusia 39 tahun yang enggan namanya didedahkan berkata, keluarganya yakin pihak polis dapat menyelesaikan kes itu segera dan menangkap suspek terlibat.

"Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut dan mahu suspek dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di kediamannya di daerah ini pada Rabu.

Isteri mangsa memberitahu, arwah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 42 tahun itu tidak mempunyai musuh, malah disenangi ahli keluarga, jiran dan kenalan.

"Sepanjang pengetahuan saya arwah tidak pernah menceritakan keburukan orang lain. Dia suami yang baik dan pentingkan kami sekeluarga dalam segala hal.

"Arwah tidak pernah menyembunyikan sesuatu daripada saya, malah lebih senang berterus terang," katanya.

Ujarnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah suaminya pada pagi Sabtu lalu sebelum bergerak menemui anak saudaranya di Dengkil.

Wanita itu memberitahu, sebelum itu, dia sempat berpesan kepada arwah supaya memandu keretanya ke tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Arwah mulanya berat hati memandu kereta, tetapi akhirnya akur dengan nasihat saya yang bimbang kerana keadaan cuaca tidak menentu lebih-lebih lagi saya berada di luar kawasan pada waktu itu.

"Namun, pada keesokannya (Ahad), saya mula gelisah apabila arwah tidak pulang ke rumah dan tidak membalas sebarang WhatsApp," ujarnya.

Menurut wanita itu, tanda tanya suaminya tidak pulang ke rumah akhirnya terjawab apabila polis memaklumkan arwah ditemukan sudah tidak bernyawa dalam but keretanya pada Isnin.

"Luluh hati apabila dimaklumkan suami sudah tiada, saya jadi kaku tidak bermaya dan berharap penjenayah terlibat segera diberkas," ujarnya yang juga pengawal keselamatan.

Jelasnya, dia dan arwah suaminya itu berkahwin sejak 11 tahun lalu, namun belum memiliki anak.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam but kereta jenis Proton Saga BLM yang diparkir di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Robin Guha Thakurta berkata, mayat mangsa itu dijumpai selepas polis menerima maklumat daripada anggota kereta peronda polis pada jam 6.04 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!