PRK Mahkota: Jangan sebar fitnah ketika berkempen

Ahmad Maslan ditemui di Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor di sini pada Selasa.
Ahmad Maslan ditemui di Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor di sini pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - "Mana-mana pihak yang berkempen di negeri ini perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak menabur fitnah," kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau mengecam tindakan pihak yang cuba menanam politik kebencian semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Jangan buat fitnah itu yang penting. Perkara yang tidak ada diada-adakan dan direka-rekakan. Itu tak bagus dan tak betul. Itu bukan cara Johor (berpolitik).

“Sepatutnya (budaya politik seperti ini) tidak menjadi cara (berpolitik) di Malaysia yang menyebar fitnah dan kebencian yang seterusnya akan jadi budaya politik di Johor dan Malaysia,” katanya kepada pemberita ditemui di Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali bahawa Malaysia bakal jatuh ke tangan kaum Cina berikutan kewujudan projek Forest City yang memberikan manfaat kepada golongan berkenaan selain mendakwa warga China bakal mendapat kerakyatan dengan mudah.

Syed dilapor berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) di Kampung Baru di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, dakwaan Syed Hassan bahawa warga China diberi kerakyatan tidak benar sama sekali dan merupakan itu isu lama yang dimainkan semula dalam kempen PRK DUN Mahkota.

Ditanya sama ada UMNO akan membuat laporan polis kerana dakwaan itu menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R), beliau berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Mengenai tuduhan UMNO memberikan sumbangan beras semasa berkempen, Ahmad menjelaskan, bantuan itu disampaikan sebelum hari penamaan calon lagi menerusi Bantuan Kasih Johor dan tidak ada kena mengena dengan PRK DUN Mahkota.

“Sebelum hari penamaan calon pada Sabtu lepas, kita nak beri apa pun boleh. Itu dah kita berikan dan kita tak beri masa kempen,” jelasnya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!