SPRM cadang larang pegawai imigresen di KLIA guna telefon bimbit
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilarang menggunakan telefon bimbit bagi mengelak daripada dihubungi pihak lain.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu merupakan cadangan penambahbaikan yang akan dikemukakan kepada pihak JIM.
Tegas beliau, cadangan itu bagi mengatasi kelemahan operasi penguat kuasa JIM yang bertugas di pintu masuk negara.
Jelas beliau, kelemahan itu dilihat telah membuka ruang kepada pihak sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi 'counter setting' atau 'laluan kaunter khas’.
"Cadangan SPRM supaya pegawai yang bertugas di Terminal 1 dan 2 KLIA termasuk penyelia tidak dibolehkan membawa telefon bimbit ketika bertugas bagi mengelakkan mudah dihubungi pihak lain.
"Selain itu, perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang anggota JIM bertugas di pintu masuk KLIA," katanya ketika sidang akhbar pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya juga mencadangkan agar jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter KLIA.
Jelasnya lagi, cadangan tersebut juga mungkin boleh dibuat penetapan oleh pihak lain bagi dilaksanakan.
Dalam pada itu, Azam berkata, terdapat beberapa perkara atau masalah utama menyebabkan berlakunya kes 'Counter Setting' di pintu masuk KLIA.
Beliau berkata, terdapat kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas dan menyebabkan pegawai imigresen di KLIA mudah didekati oleh ejen atau sindiket.
Selain itu menurutnya, putaran tempat kerja bagi pegawai imigresen yang bertugas di KLIA juga tidak sistematik.
Jelasnya, ia menyebabkan pihak ejen dan sindiket senang untuk berurusan dengan pegawai penyelia mahupun pegawai yang menjaga kaunter kerana mereka terlebih dahulu mengetahui pegawai tersebut akan bertugas di kaunter mana dan berlakunya kes 'counter setting'.
"Malah kurang pemantauan dan penyeliaan menyebabkan berlakunya kejadian seumpama itu di KLIA, selain terdapat kelompongan dalam kaedah kerja," ujarnya.
Tambahnya lagi, sistem pemeriksaan ke atas kemasukan warga asing juga mudah untuk dimanipulasi dan susah untuk membuat semakan semula.
Azam juga berkata, petugas JIM dilihat terlalu selesa dan lama bertugas di lokasi yang sama.
Menurutnya, persekitaran tempat kerja di pintu masuk KLIA itu sendiri dikesan terdapat pegawai imigresen yang turut memberi dan membayar rasuah dalam kalangan pegawai imigresen.
Katanya, siasatan mendapati wujud amalan dalam pegawai imigresen yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan.
"Selain itu, tiada prosedur operasi standard (SOP), pengawasan yang ketat dan pihak JIM perlu bertanggujawab melakukan operasi besar-besaran bagi menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Tiada pemantauan atau tapisan pihak ketiga membabitkan semakan dokumen tiket pulang dan penginapan sepanjang tempoh berada di Malaysia.
"Malah habuan rasuah yang lumayan turut mengaburi mata petugas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!