Pensyarah UUM menang saman fitnah terhadap Che Asmah
SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menang saman fitnah ke atas bekas Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Kamarul Zaman berkata, Che Asmah dalam kenyataannya di akaun Facebook memfitnah beliau pada 29 April 2021 dengan mendakwa sering membuat tipu daya.
Menurutnya, pada setiap bulan Ramadan dengan merujuk rencana yang diterbitkan dalam laman web The New Straits Times (NST) bertajuk ‘Calls to sack UUM lecturer Kamarul grow louder’.
“Rencana ini memuatkan komen bekas Ketua Pengarang NST, Datuk A Kadir Jasin yang menyerang saya kerana didakwa membuat kenyataan menerusi Facebook pada 28 April 2021 mempertikaikan keberadaan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bersama Raja Muda Perlis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, Kamarul Zaman menafikan pernah membuat kenyataan itu sekali gus menyaman Kadir dan NST serta individu lain yang memilih untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.
Kamarul Zaman turut bersyukur dengan keputusan itu yang dapat membersihkan namanya kerana wang bukan menjadi pertaruhan, namun maruah dan integriti diutamakan.
“Sebelum ini pun sudah ramai yang memohon maaf dan menyelesaikan kes di luar mahkamah setelah terbukti saya memang tidak pernah membuat hantaran itu, tetapi mereka masih berdegil dan tidak mahu memohon maaf.
“Memang kita akan teruskan dengan perbincangan penuh di mahkamah,” tambahnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Ampang 1, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan dengan membuktikan bahawa kenyataan Che Asmah merupakan fitnah.
“Mahkamah memutuskan bahawa pembelaan komen berpatutan dan justifikasi yang dikemukakan oleh Che Asmah adalah gagal dibuktikan, maka ianya ditolak.
“Mahkamah juga memutuskan bahawa sandaran Che Asmah kepada dokumen di Bahagian C di tab 0 hingga tab AA ditandakan sebagai eksibit ID atau IDD, tidak boleh dibuktikan kewujudannya atau kebenaran kandungan tersebut,” ujarnya.
Tambah Wan Mohd Norisham, Che Asmah gagal mengemukakan apa-apa keterangan dan/atau mematahkan andaian niat jahat tersebut dan akibat daripada itu andaian niat jahat kekal tidak dicabar.
Beliau juga menegaskan bahawa mahkamah berpendapat Che Asmah wajar diperintahkan membayar ganti rugi kepada Kamarul Zaman.
Katanya, berdasarkan alasan yang dinyatakan, mahkamah memutuskan tuntutan plaintif terhadap Che Asmah dibenarkan dengan kos dan diperintahkan membayar ganti rugi secara global sebanyak RM100,000.
“Faedah pada kadar empat peratus setahun dari tarikh writ sehingga penyelesaian penuh di mana kos tuntutan juga dibenarkan sebanyak RM30,000,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!