Imam tersedar solat tanpa wuduk, apa perlu dilakukan?
PERMASALAHAN di dalam solat berjemaah jarang sekali berlaku namun ia jika terjadi, kadangkala jemaah masing-masing tidak tahu apa tindakan yang sepatutnya dilakukan.
Begitu juga sama keadaannya apabila seseorang yang ditolak untuk mengetuai solat ketika imam yang dilantik tidak hadirkan diri pada waktu itu.
Kadangkala orang yang ditolak menjadi imam pula tiada pengetahuan mendalam mengenai fiqh solat, boleh huru-hara jemaah dibuatnya.
Walaupun ia jarang sekali berlaku, namun sebagai seorang Muslim, kita semua perlu tahu dan belajar mengenai fiqh solat ini.
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya pernah ditanya mengenai tindakan yang perlu dilakukan imam apabila tersedar dia sedang berhadas sama ada hadas kecil (tidak berwuduk) atau hadas besar (belum mandi wajib), ketika sedang mendirikan solat berjemaah.
Beliau menjawab, seorang imam yang sedang solat dan tiba-tiba sedar dia berada dalam hadas, wajib baginya menghentikan solat dan keluar dari jemaah solat.
“Ketika sedang solat, imam sedar dia belum mengambil wuduk atau lupa hendak mandi wajib selepas 'bersama' dengan isterinya, wajib dia berhenti solat serta-merta.
“Melainkan dalam dua keadaan iaitu ketika sedang rukuk, imam perlu iktidal terlebih dahulu sebelum keluar solat dan ketika sujud, dia perlu duduk antara dua sujud dahulu bagi mengelakkan tanda tanya pada makmum,” jelasnya dalam perkongsian soal jawab di YouTube miliknya pada Selasa.
Menurut beliau, sekiranya imam atau seseorang itu solat bersendirian dan dia menyedari belum mengangkat hadas kecil atau besar, wajib baginya berhenti dan haram untuk dia menyambung bacaan dalam solat atau meneruskan solat.
“Wajib keluar solat dan haram baginya untuk menyambung bacaan surah atau menyambung solatnya,” ujarnya.
Adapun ketika sudah berada pada kedudukan tahiyat akhir dan imam keluar daripada solat sebelum salam atas alasan sudah batal solatnya, menurut Ustaz Azhar, makmum tidak perlu untuk keluar solat memandangkan solat mereka pada ketika itu adalah sah.
“Apa yang perlu makmum lakukan adalah menyelesaikan solat seperti biasa.
“Bagaimanapun, jika makmum di belakang imam mahu menggantikan imam yang telah keluar solat ketika tahiyat akhir itu, dia perlu bangun terlebih dahulu dan berjalan ke tempat imam sebelum duduk dan menyelesaikan solat jemaah itu,” hurainya.
Jika imam menyedari dia mempunyai hadas (tiada wuduk atau belum mandi wajib) selepas solat selesai, imam tidak perlu membuat pengumuman kepada para jemaah bahawa solatnya batal, menurutnya lagi.
“Apa yang perlu imam lakukan adalah melakukan wirid pendek sebelum keluar dan pulang ke rumah untuk mengangkat hadas dan melakukan solat bagi menggantikan solatnya yang batal.
“Bagi makmum, tidak perlu menggantikan solat mereka kerana ia sah walaupun solat imam tidak sah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!