Seorang maut dalam nahas babit 10 kenderaan
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut, seorang parah manakala dua lagi cedera selepas terbabit kemalangan melibatkan 10 kenderaan termasuk dua lori muatan batu dalam kejadian di Lingkaran Tengah Seremban di sini pada Rabu.
Komander operasi, Penguasa Bomba Kanan 1 (KUP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Hamlan Ishak berkata, lelaki berusia 40-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada jam 1.28 tengah hari.
"Sepasukan anggota bomba seramai lima orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan.
"Kemalangan tersebut melibatkan kereta Perodua Myvi, Proton Persona, Perodua Kancil, Honda City dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, Nissan X-Trail serta dua lori muatan batu," katanya.
Katanya, setiba di lokasi pihak bomba mendapati terdapat empat mangsa yang cedera daripada beberapa kenderaan berbeza dan seorang daripadanya maut.
"Kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia akibat tersepit dengan bantuan kren sebelum diserahkan mayat kepada pihak polis.
"Ketika ini kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dilakukan dan maklumat lain akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!