MBPP tidak akan bayar ganti rugi kenderaan dihempap pokok

Hampir 200 laporan pokok tumbang direkodkan di seluruh Pulau Pinang sejak Ahad lalu.
Hampir 200 laporan pokok tumbang direkodkan di seluruh Pulau Pinang sejak Ahad lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak akan membayar ganti kepada mana-mana pemilik kenderaan yang dihempap pokok tumbang disebabkan bencana alam.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, pihaknya hanya akan membayar ganti rugi sekiranya kenderaan terlibat dihempap pokok tumbang yang berlaku secara tiba-tiba.

"Kita tidak akan membayar sebarang ganti rugi kepada pemilik kenderaan sekiranya kenderaan mereka rosak kerana bencana alam seperti ribut dan sebagainya.

"MBPP hanya akan membayar ganti rugi sekiranya pokok milik kita secara tiba-tiba tumbang lalu menghempap kenderaan orang awam," katanya pada sidang akhbar di Dewan Bandaraya di sini pada Rabu.

Rajendran (kanan) menerangkan mengenai kesihatan pokok yang dikenalpasti perlu ditebang.
Rajendran (kanan) menerangkan mengenai kesihatan pokok yang dikenalpasti perlu ditebang.

Menurut beliau, sehingga kini, MBPP telah menebang 86 batang pokok yang tidak sihat di simpanan jalan sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.

Kata beliau, kebanyakan pokok yang ditebang adalah spesis Angsana dan Hujan-hujan yang berusia antara 60 hingga 80 tahun.

"27 batang pokok telah dikenal pasti untuk ditebang iaitu 16 di Jalan Kelawei dan 11 di Jalan Burma. Kesemua pokok ini mengalami pereputan dan berlubang pada struktur batang pokok.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pokok-pokok itu mengalami kemerosotan pertumbuhan atau pertumbuhan terbantut. Perkara ini telah dibincang dengan pihak terlibat dipersetujui dan diluluskan untuk penebangan di dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini.

"Proses penebangan akan bermula pada minggu hadapan dan dijangka selesai pada pertengahan Oktober ini. Pokok-pokok ini akan diganti dengan pokok yang lebih sihat," tambahnya.

Rajendran berkata, MBPP juga sedang mempertimbangkan untuk menebang pokok tidak sihat dan berisiko di Jalan Utama, Jalan Perak dan Jalan Macalister.

"Sebanyak 1,321 batang pokok keseluruhan telah diperiksa. Berdasarkan laporan dan kajian di lapangan melalui pelaksanaan Kerja-Kerja Penilaian Risiko Pokok, dianggarkan sebanyak 54 pokok akan ditebang di lima jalan termasuk Jalan Kelawei dan Jalan Burma.

"Kita juga menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas 13,995 batang pokok di bahu jalan dengan kos sebanyak RM4.3 juta bagi tahun ini. Ia dilaksanakan oleh lima syarikat kontraktor yang dilantik bersama MBPP," katanya.

Menurut beliau, bagi menganalisa keadaan kesihatan pokok, pakar-pakar aboris telah dilantik oleh MBPP.

"MBPP juga telah mendapat kerjasama daripada Institut Jurutera Malaysia bagi memberi khidmat runding dalam pengurusan struktur dan kestabilan pokok," katanya.

Pada Selasa, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang akhbarnya berkata, hampir 200 laporan pokok tumbang direkodkan di seluruh Pulau Pinang sejak Ahad lalu.

Menurutnya, ia susulan hujan lebat dan angin kencang yang turut menyebabkan beberapa rumah dan kenderaan rosak di sembilan lokasi di negeri ini.

Kata Kon Yeow lagi, Pulau Pinang turut mencatatkan taburan hujan sebanyak 110 milimeter (mm) pada Selasa hingga menyebabkan banjir kilat di 71 lokasi di tanah besar iaitu 43 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan 28 tempat di Seberang Perai Selatan (SPS).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!