Beto Kusyairi akui galas tanggungjawab besar
AKTOR berbakat besar, Beto Kusyairy mengakui memikul tanggungjawab besar apabila diberi kepercayaan untuk menggalas watak sebagai pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia merangkap mahaguru silat, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim menerusi filem Gayong.
Menurut Beto atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman, 40, antara persiapan awal yang dilakukan adalah bertemu guru tua yang sudah mengenali arwah lebih 20 tahun seperti Cikgu Awang Daud di Gurun, Kedah.
"Saya tidak mengenali arwah Datuk Meor secara peribadi, tetapi mengetahui beliau merupakan pengasas silat gayong di Malaysia.
"Jadi bagi menjaga adab dan keberkatan, saya ambil inisiatif untuk bertemu beberapa guru-guru tua. Saya cuba mana yang mampu mempersiapkan diri termasuk membina badan bagi disesuaikan dengan fizikal Allahyarham yang berbadan tegap, walaupun pada usia 70 tahun," katanya yang berharap filem ini akan terus mengangkat martabat seni silat.
Beto berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Gayong di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
Tambah Beto, antara faktor lain dia menerima filem tersebut adalah disebabkan penglibatan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama, serta dua pelakon aksi popular iaitu Yayan Ruhian (Indonesia) dan Chevanon Phukaokaew (Thailand).
"Pengarah filem ini, Faizal Ishak ialah rakan baik saya dan bila dia tawarkan watak sukar untuk saya tolak. Lebih-lebih lagi barisan pelakon lain yang tidak kurang hebatnya.
"Saya juga bantu penerbit untuk dapatkan Yayan dan alhamdulillah Yayan setuju untuk terlibat sama dalam filem ini," jelasnya yang sudah mempunyai asas silat gayong sejak berusia 7 tahun.
Pengiktirafan
Dalam pada itu, diusik mengenai pengiktirafan yang mungkin diterima apabila meneraju filem ini kelak, pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 menegaskan tidak pernah sama sekali mengejar apa-apa trofi.
Katanya, sejak awal penglibatan dalam bidang seni, pengiktirafan yang didambakannya hanyalah impak positif daripada penonton selepas menonton karya lakonannya.
"Saya sedar diri, sedar ruang, di mana tanah dipijak, di mana langit dijunjung. Sejak dulu lagi, saya sudah didik diri saya untuk buat sesuatu bukan kerana mahu mengejar apa-apa pengiktirafan baik dalam mahupun luar negara.
"Pengiktirafan pada saya cukup penonton terkesan, terjentik hati, teringat dan membuatkan mereka terfikir untuk berubah ke arah lebih baik.
"Selebihnya yang saya dapat sebelum ini adalah satu bonus. Saya menghargai tetapi tidaklah sehingga mengatakan anugerah yang diterima tidak setanding dengan bakat saya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!