Pertimbang tubuh RCI siasat kes dera kanak-kanak rumah amal

Mohamad Ezri. Laporan Sinar Harian.
Mohamad Ezri. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penderaan, pengantunan dan eksploitasi terhadap 402 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal sekitar Selangor serta Negeri Sembilan pada 11 September lalu.

Yang Dipertua Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki itu penting untuk dilaksanakan segera kerana laporan mengenai kes tersebut amat mengejutkan.

Justeru, menurutnya, penubuhan RCI amat penting dan kerajaan perlu melakukan siasatan menyeluruh mengenai kelemahan pihak berkaitan yang membenarkan penderaan kanak-kanak terbabit berlarutan selama bertahun-tahun.

Majlis Peguam Malaysia
Majlis Peguam Malaysia

“Majlis Peguam Malaysia bersama Farah Nini mengecam keras pelanggaran melampau dialami kanak-kanak ini.

"Rumah yang sepatutnya memberikan penjagaan dan perlindungan, malangnya bertukar menjadi tempat penderaan mengerikan.

“Kami menyokong sepenuhnya tindakan segera Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain yang terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penemuan RCI diharap dapat membawa pembaharuan bermakna dalam dasar perlindungan kanak-kanak dan mekanisme pengawasan institusi,“ katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Farah Nini dilaporkan turut meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membentuk jawatankuasa khas bagi membangunkan strategi komprehensif untuk mencegah penderaan, pengantunan dan eksploitasi berulang kembali di semua institusi berkaitan kanak-kanak termasuk rumah amal.

Beliau yang merupakan Pakar Undang-Undang Kanak-Kanak dari Universiti Malaya (UM) juga memohon agar kes terbabit dapat ditangani dengan baik demi melindungi mangsa termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling.

Mohamad Ezri berpandangan, ketika masyarakat memuji ketangkasan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas, perlu diakui bahawa kes yang dilaporkan ketika ini mungkin sekadar permulaan.

Tambah beliau, hakikat bahawa rumah amal berkenaan sudah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pengawasan sepatutnya dipersoalkan dari aspek rangka kerja atau penguatkuasaan sedia ada.

“Majlis Peguam Malaysia meminta semua badan kawal selia bukan sahaja PDRM dan JKM untuk menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat serta memastikan kesemua rumah amal dipantau secara teliti.

“Penting untuk kita gunakan pendekatan holistik bagi mengelakkan tragedi tersebut berulang lagi.

"Bukan sahaja tindakan segera kepada pelaku, tetapi pembaharuan jangka panjang terhadap sistem yang mengawasi rumah-rumah ini.

“Rumah jagaan yang tidak dikawal mempunyai risiko besar, terutamanya golongan rentan seperti kanak-kanak.

"Kita tidak boleh biarkan penderaan mengerikan ini diabaikan begitu sahaja,“ ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!