Tapak perkhemahan di kem Nemo diminta tutup buat sementara - Polis

Wan Mohd Zahari. Laporan Sinar Harian.
Wan Mohd Zahari. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tapak perkhemahan kem Nemo di Pantai Balok diminta menutup operasi buat sementara susulan kejadian seorang warga emas maut dihempap pokok ketika berkhemah di kawasan itu pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, arahan itu dibuat dari aspek keselamatan terutamanya ketika musim hujan dan ribut.

"Setakat ini, kita sudah maklumkan kepada pengusaha tapak perkhemahan agar tidak dibenarkan untuk membuat aktiviti perkemahan di lokasi tersebut.

"Kita nasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti perkhemahan di bawah pokok ketika cuaca ribut, kalau boleh pilih kawasan lapang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera apabila dihempap pokok tumbang ketika berkhemah dalam kejadian hujan dan ribut di kawasan perkhemahan itu.

Mangsa,Che Zakariah Che Ali, 68, beralamat di Felda Cerul 2, Kemaman, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Cucu mangsa, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq, 7, cedera pada bahagian kepala sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil.

Wan Zahari memberitahu, mangsa bersama 13 ahli keluarga menyertai aktiviti perkhemahan selama tiga hari dua malam di kawasan perkhemahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Namun kira-kira jam 3.10 petang, hujan dan angin kencang di kawasan perkhemahan, mangsa ketika itu sedang duduk di atas kerusi di depan khemahnya.

"Tiba-tiba menantunya yang berada dalam khemah bersama isteri dan dua anaknya terdengar bunyi pokok tumbang dan semasa menyelamatkan diri terlihat mangsa telah dihempap pokok dan mereka cuba mengalihkannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman berkata, kem tersebut diuruskan pengusaha resort, walaupun kelulusan lesen diberikan oleh pihak MBK.

Beliau berkata, memandangkan kejadian yang berlaku melibatkan ribut (cuaca buruk), pengusaha diminta melakukan pemeriksaan di sekitar premis terutamanya keadaan pokok dan dahan-dahan di kawasan sekitar.

"Pengusaha juga diminta untuk lebih peka dengan keadaan perubahan cuaca terutamanya yang melibatkan ribut.

"Orang ramai dinasihatkan juga lebih berhati-hati dan tidak mengunjungi tempat yang berisiko kemalangan (di musim atau keadaan cuaca buruk)," katanya.

@sinarharianonline

Tapak perkhemahan di kem Nemo diminta tutup buat sementara - Polis #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #TapakPerkhemahan #KemNemo #Tutup #Polis

News - AShamaluevMusic

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!