Terbuka China: Tang Jie-Ee Wei hanya perlu 26 minit untuk mara ke pusingan kedua

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei. Foto Bernama
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei. Foto Bernama
A
A
A

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya mengambil masa 26 minit untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka China selepas menyingkirkan cabaran pasangan India di Changzhou, China pada Rabu.

Pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Xincheng, gandingan kesembilan dunia itu mudah menewaskan K Sathish Kumar-Aadya Variyath dengan keputusan straight set 21-14, 21-11.

Menanti Tang Jie-Ee Wei di pusingan kedua esok adalah pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja yang mara apabila wakil Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau menarik diri pada set kedua selepas tewas pada set pertama.

Turut mengikut jejak langkah juara Terbuka Korea itu ialah beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas bangkit menewaskan wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 13-21, 21-16, 21-15.

Menanti gandingan negara di pusingan kedua ialah pemenang antara Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dan wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!