Premis, rumah amal GISBH di Perak tidak terlepas pemantauan polis
IPOH - Polis Perak memantau secara rapat semua premis dan rumah amal berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang beroperasi di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya telah mengenal pasti premis terlibat dan telahpun diletakkan di bawah pemantauan rapi.
"Semua yang ada kaitan berada dalam radar kita dan masih dalam pemerhatian.
"Berkaitan lokasi dan operasi, kita tidak boleh dedahkan lagi setakat ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Sabtu lalu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi 39 lagi rumah amal di seluruh negara dipercayai milik syarikat GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tidak menolak kemungkinan ada tindakan lanjut oleh pihak polis terhadap premis berkenaan, susulan serbuan 20 rumah amal berkaitan GISBH yang dilakukan sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!