Dua beranak maut kereta dihempap pokok, dinding konkrit

Dua individu dipercayai terbunuh apabila sebuah pokok tumbang menghempap kereta dinaiki mereka di Lebuh Gereja pada Rabu.
Dua individu dipercayai terbunuh apabila sebuah pokok tumbang menghempap kereta dinaiki mereka di Lebuh Gereja pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Dua beranak yang merupakan warga China maut apabila sebatang pokok sebesar tiga pemeluk tumbang bersama dinding konkrit lalu menghempap kereta dinaiki mereka di Lebuh Gereja di sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, mangsa dipercayai berada di dalam kereta yang diparkir di kawasan bangunan Pinang Peranakan Mansion.

Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan penyelamat.
Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa merupakan warga China.

"Hubungan kedua-dua mangsa adalah bapa dan anak. Mangsa wanita, Liu XinXin berusia 36 tahun,manakala bapanya, Liu Zhu berusia 69 tahun.

"Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pemandu kenderaan iaitu wanita tempatan berusia 52 tahun hanya cedera ringan di kepala," katanya.

Sementara itu, Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Penguasa Bomba Mohd Syafiq Norazman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang.

Menurutnya, kejadian melibatkan tiga kenderaan namun hanya sebuah kenderaan melibatkan mangsa.

"Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 2.25 petang dan mendapati tiga kenderaan dihempap pokok bersama runtuhan dinding konkrit.

"Salah sebuah kenderaan tersebut terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita dan lelaki," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar pada jam 5.15 petang, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.

"Bomba dengan kerjasama pihak lain antaranya polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah bertungkus-lumus membawa keluar mangsa yang tersepit.

"Mangsa wanita berada di tempat duduk penumpang hadapan, manakala mangsa lelaki di tempat duduk bahagian belakang.

"Difahamkan, kedua-dua mangsa baru masuk ke dalam kereta selepas keluar dari bangunan tersebut," katanya.

Mohd Syafiq berkata, kenderaan dinaiki mereka diparkir di kawasan bangunan muzium yang merupakan tempat tumpuan pelancong luar negara itu.

"Bangunan ini merupakan tempat tumpuan pelancong luar untuk bergambar.

"Pokok tersebut berada berdekatan dengan tempat parkir bangunan tersebut.

"Pemeriksaan mendapati, pokok itu melekat pada struktur konkrit dan apabila pokok tumbang menyebabkan struktur konkrit turut runtuh lalu menghempap kereta yang berada di situ. Struktur konkrit itu yang menyebabkan runtuhan itu berat," katanya.

Tambah beliau, keadaan cuaca dan kawasan sempit menyebabkan pihak bomba mengalami kesukaran dalam menjalankan operasi menyelamat.

"Cabaran yang kami hadapi adalah keadaan cuaca yang tidak menentu iaitu hujan dan angin kencang selain kawasan di sini sempit.

"Ruang untuk kami buat kerja amat terhad. Ruang yang sempit juga menyukarkan kami membawa masuk kren.

"Bagaimanapun, operasi selama tiga jam akhirnya berjaya membawa keluar mangsa yang tersepit. Ia melibatkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Lebuh Pantai," katanya.

Tambahnya, seramai 40 anggota penyelamat terlibat termasuk 12 anggota bomba.

"Siasatan awal mendapati, punca pokok tumbang bersama dinding konkrit adalah kerana angin kencang yang melanda bandar ini tadi," katanya.


MBSP terima 174 aduan mengenai pokok tumbang

Dalam pada itu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memaklumkan menerima sebanyak 174 aduan berkenanan pokok tumbang di kawasan Seberang Perai berikutan hujan lebat dan angin kencang sejak Selasa.

Sebanyak 75 aduan diterima pada Selasa manakala 99 aduan lagi diterima pada Rabu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu, sehingga jam 11.59 malam Selasa, MBSP menerima 75 aduan pokok tumbang, 60 aduan telah diambil tindakan oleh MBSP melalui kaedah potong dan ubah manakala baki 15 aduan lagi diselesaikan pada Rabu.

"Sehingga jam 4.24 petang tadi, MBSP telah menerima 99 lagi aduan kejadian pokok tumbang dan sebanyak 29 aduan telah diselesaikan sementara 70 aduan lagi masih dalam tindakan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, berikutan terdapat banyak pokok tumbang akibat ribut, MBSP telah mengerakkan kesemua pasukan dan logistik ke seluruh Seberang Perai.

Ia termasuk 16 pasukan daripada Jabatan Pengurusan Krisis dan masing-masing enam pasukan daripada Jabatan Landskap serta Kontraktor Jabatan Landskap.

"Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dengan kekuatan jentera dari lapan Depo Pembersihan MBSP bersama-sama 29 Kontraktor Pembersihan MBSP akan melaksanakan pengalihan dan pembersihan sisa-sisa pokok tumbang ke tapak pelupusan.

"MBSP bertungkus lumus menyelesaikan semua aduan berkaitan yang diterima," tambahnya.

Orang ramai yang ingin memaklumkan kejadian pokok tumbang bolehlah menghubungi Talian Bebas Tol MBSP 1-800-88-6777.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!