Letak syarat MoU bertentangan demokrasi berparlimen - Pejuang
SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Perpaduan meletakan obligasi atau syarat dalam memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang jelas bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, ia tidak sepatutnya berlaku jika tugas pembangkang adalah sebagai semak dan imbang.
"Kalau tugas pembangkang adalah sebagai semak dan imbang mengapa pula letakkan syarat untuk semak dan imbang? Pelik tetapi inilah yang ingin dilakukan oleh kerajaan yang kononnya reformis.
"Terlalu banyak kesan negatif yang timbul sekiranya mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Rakyat memasuki MoU yang diusahakan oleh Kerajaan Madani. Ia mampu dilabel sebagai tidak berperlembagaan," katanya.
Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam inti pati tersebut antaranya tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.
Turut terkandung dalam inti pati tersebut ialah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan aku janji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
Tambah Muhammad Rafique, perkara paling mustahak yang dipikul oleh seorang ahli Parlimen bukannya semata-mata dasar partinya tetapi jauh lebih utama aspirasi pengundi.
"Tidak keterlaluan untuk dinyatakan juga bahawa tujuan MoU ini diperkenal untuk menghalang pembangkang mengeluarkan pendapat. Cubaan secara licik untuk mendiamkan suara pembangkang.
"Memasukkan limitasi atau had perkara-perkara yang boleh dibahas atau diucap semasa dalam sidang (yang mana hak ini terjaga dari segi kekebalan) adalah satu perbuatan yang harus dilawan habis-habisan oleh mana-mana ahli Parlimen tidak kira daripada blok pembangkang, kerajaan mahupun yang berkecuali," ujarnya.
Beliau turut berasa janggal apabila syarat yang dikenakan terkait dengan pertuturan.
Muhammad Rafique mempersoalkan Ahli Dewan Negara tidak boleh bercakap mengenai Melayu.
"Mengenai kerisauan orang Melayu makin dipinggirkan dari kuasa membeli hartanah di bandar, makin mundur ke desa, makin dihimpit dari segi persempadanan semula?
"Tidakkah boleh Ahli Dewan Rakyat melahirkan kerisauan isu-isu pluralisme yang makin menjadi dan bercakap mengenai isu-isu LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri) menular dalam negara?" soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!