Penempatan kader Jakim di kementerian, jabatan hanya tumpu hal ehwal Islam
SHAH ALAM - Penempatan kader atau pegawai hal ehwal agama Islam di kementerian dan jabatan adalah hanya tertumpu kepada hal ehwal Islam, namun tidak berperanan dalam perihal penggubalan dasar atau hala tuju bahagian tersebut.
Perkara tersebut dinyatakan dalam pertemuan bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan wakil Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) pada hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara, pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan kerajaan dan kementerian.
"Pelantikan kader Jakim sejak tahun 2006 adalah untuk melaksanakan fungsi hal ehwal Islam sahaja.
"Ketika ini terdapat seramai 1,250 orang kader Jakim dan tiada perjawatan baharu di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Dalam perjumpaan ini juga telah diterangkan dan dijelaskan berhubung peranan yang dimainkan oleh kader Jakim," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, pegawai Jakim akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.
Tambah kenyataan itu, kader hanya menjalankan beberapa fungsi perkhidmatan antaranya pembangunan insan, keselamatan dan pencegahan.
Menteri Perpaduan Negara turut menekankan bahawa keharmonian tidak datang secara automatik dan ia perlu dibina dengan kesabaran, empati serta komunikasi yang baik.
"Oleh itu, sangat penting bagi kita untuk terus mendidik diri dan masyarakat mengenai pelbagai agama dan budaya.
"Melalui pendidikan, kita dapat membina kesedaran lebih mendalam dan menghapuskan tanggapan negatif yang boleh memburukkan lagi keadaan.
"Pertemuan pada hari ini telah menemui kata sepakat antara semua wakil dan pemimpin agama Islam dan selain Islam berhubung polemik penempatan pegawai Jakim.
"Kesemua pemimpin agama bersetuju agar akan memanfaatkan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi dalam mencari solusi kepada isu, permasalahan atau polemik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!