Dua anggota polis disyaki terlibat kes dadah, ketum digantung tugas
IPOH - Dua anggota polis Perak yang disyaki terlibat kes penyalahgunaan dadah dan ketum dalam serbuan sebuah rumah di Tanjung Rambutan Jumaat lalu telah ditahan kerja.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penggantungan tugas anggota berpangkat koperal berusia 41 tahun dan koperal sokongan berusia 39 tahun itu dilakukan bermula Rabu sehingga siasatan selesai.
"Di bawah bidang kuasa saya, dua anggota terlibat yang merupakan warga polis Perak itu telah pun diambil tindakan.
"Langkah pertama ialah gantung kerja. Mereka telah pun digantung kerja," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, anggota terbabit telah pun direman bermula Jumaat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
"Tempoh reman tamat esok (Khamis). Jika perlu lagi siasatan kita akan rujuk (reman) atau bawa kepada pertuduhan sekiranya siasatan telah lengkap," katanya.
Terdahulu tular di media sosial kes tangkapan melibatkan tujuh anggota polis dilakukan Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah rumah di Tanjung Rambutan.
Dalam serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu didapati, anggota yang ditahan terlibat dengan aktiviti memproses dan menjual air ketum serta menjalankan perniagaan rokok tidak bercukai.
Ada anggota yang ditahan juga disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian.
Sementara itu, seramai 186 pesara dan bakal pesara diraikan dan menerima sijil penghargaan Polis Perak.
Aziz dalam ucapannya berkata, sokongan daripada pesara polis menjadi bekal semangat dan pendinding yang menahan pelbagai desakan serta tohmahan kepada pasukan.
"Bagi warga kerja yang masih berkhidmat ini, kita sangat mengharapkan agar semua pesara polis dapat terus memberikan sokongan dan kesetiaan kepada pasukan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!