Angin kencang: MBPP akan tebang 54 batang pokok

MBPP akan menebang 54 batang pokok di lima jalan di sekitar pusat bandar sebagai langkah persediaan menghadapi fenomena cuaca angin kencang ketika ini.
MBPP akan menebang 54 batang pokok di lima jalan di sekitar pusat bandar sebagai langkah persediaan menghadapi fenomena cuaca angin kencang ketika ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menebang 54 batang pokok di lima jalan di sekitar pusat bandar sebagai langkah persediaan menghadapi fenomena cuaca angin kencang ketika ini.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir A Rajendran berkata, semua pokok yang akan ditebang itu telah dikenal pasti selepas pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 1,321 batang pokok di Jalan Kelawai, Jalan Burma, Jalan Utama, Jalan Perak serta Jalan Macalister.

"Pokok-pokok itu akan ditebang kerana pemeriksaan mendapati terdapat pereputan, jangkitan pada struktur batang pokok dan telah didapati mengalami kemerosotan pertumbuhan malah telah berusia sekitar 60 hingga 80 tahun.

"Kerja-kerja penebangan akan bermula minggu depan dan dijangka selesai pada pertengahan bulan Oktober, semua pokok yang telah ditebang juga akan ditanam semula," katanya dalam sidang media berhubung insiden pokok tumbang di sini pada Rabu.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, Pulau Pinang menerima hampir 200 aduan berhubung pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lepas sehingga ia turut menyebabkan banjir kilat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkuat kuasa sehingga esok dan berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin yang berlaku di Utara Semenanjung dan Barat Sabah dijangka berterusan hingga 21 September.

Sementara itu, Rajendran berkata, keadaan di sepanjang Esplanade yang turut dikenali sebagai Padang Kota adalah selamat dan tembok penahan ombak di situ kukuh.

"Tembok di situ telah dibina untuk menahan ombak besar iaitu setinggi 2 hingga 2.5 meter, walaupun ada limpahan air laut seperti semalam ia hanya melibatkan limpahan air sahaja bukan bencana lain.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang makan di kawasan Medan Renong dan beriadah di sepanjang Padang Kota tidak perlu bimbang kerana sememangnya tembok yang dibina adalah kukuh dan selamat," katanya.

Semalam media melaporkan angin kencang dan air pasang luar biasa menyebabkan ombak kuat melanda di beberapa kawasan di negeri ini dan antara kawasan terlibat ialah Medan Renong di Padang Kota, Bagan Ajam di Butterworth dan Pantai Teluk Bayu di Bayan Lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!