Kerajaan kekalkan dasar sedia ada permohonan sijil halal - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar sedia ada itu yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela.

"Dasar sedia ada ini kekal dan ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

"Melalui SPHM yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilapor berkata, Jakim sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun beliau berkata, ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

Cadangan itu kemudiannya mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan bukan secara paksa.

Sementara, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal menambah, restoran dan syarikat makanan digesa agar memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis mereka.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi pembimbing usahawan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta telah menawarkan pelbagai insentif untuk memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal.

"Selain itu, Jakim juga telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari dan statistik menunjukkan di antara Januari hingga Julai 2024, 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh 30 hari tersebut.

"Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM," katanya.

Jelas Ahmad Zahid, Jakim, MAIN dan JAIN komited untuk terus memperkemas polisi dan dasar sedia ada demi menambah baik pengurusan pensijilan halal dan sistem penyampaian perkhidmatan bagi memastikan pensijilan halal Malaysia terus diyakini dan kekal sebagai rujukan dunia.

Beliau dalam masa sama turut menegaskan, Jakim dan agensi berkaitan akan bertindak tegas kepada individu atau mana-mana pihak yang cuba memalsukan SPHM demi memastikan kualiti dan standard pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga katanya, turut komited untuk terus memperkukuh pengurusan sijil halal Jakim demi kepentingan dan kebaikan untuk negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!