PN dakwa penduduk Mahkota muak permainan politik BN
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mendakwa penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sudah muak dengan permainan politik Barisan Nasional (BN) yang menawarkan 'gula-gula' setiap kali menjelang pilihan raya.
Setiausaha Kerja Bersatu Johor, Muhammad Syafiq Aziz berkata, beliau mendapat aduan daripada persatuan Cina bahawa bantuan hanya datang ketika pilihan raya namun tiada sebarang perubahan dari sudut kebajikan rakyat selepas mereka menang.
Menurutnya, penduduk dan pengundi di DUN Mahkota kini sudah bijak menilai perkara tersebut.
"Datang persatuan Cina, mereka cerita sudah muak kerana setiap kali pilihan raya negeri (PRN) ada gula-gula politik. Pengundi Cina rasa mereka dikhianati terutamanya melibatkan isu ekonomi sehingga menyebabkan ada di antara mereka terpaksa bekerja di Singapura.
"Sedangkan BN berjanji untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan. Selain itu, cuba turun ke Mahkota sekarang 24 jam turap jalan, beri beras tempatan, namun saya percaya pengundi semakin bijak," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 456 bertajuk Biru Apa Warna Mahkota? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.
Tambah Muhammad Syafiq, berbeza dengan PN yang tampil dengan calon berpengalaman dari sudut kepimpinan dan suka bermasyarakat.
"Sudut perjuangan rakyat bukan hanya pada ADUN kerajaan tetapi pembangkang juga. Agensi kerajaan ada peruntukkan tertentu untuk selesaikan masalah rakyat.
"Namun, diharapkan agensi kerajaan tidak pilih bulu sama ada ADUN pembangkang atau kerajaan, semua mahu bantu rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!