PRK Mahkota: Calon muda bukti UMNO, BN tidak ketandusan pemimpin

Noor Azleen
Noor Azleen
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon muda bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan parti itu tidak ketandusan pemimpin.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ia merupakan peluang untuk BN di Johor menampilkan bakat baharu dan segar sebagai cerminan serta refleksi kepada masa depan UMNO dan pemimpin di sana.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengiktiraf kepimpinan pemuda yang ada kini dan berani mempertaruhkan Ketua Pemuda Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon mewakili BN.

"Itu menunjukkan mesej yang ingin kita sampaikan kepada rakyat di luar bahawa UMNO mempunyai masa depan luas, tidak ketandusan pemimpin dan menjadi tempat melahirkan pemimpin yang mempunyai pakej," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 456 bertajuk 'Biru Apa Warna Mahkota?' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

(Dari kanan) Mujibu, Muhammad Syafiq dan Noor Azleen ketika Wacana Sinar edisi 456 bertajuk 'Biru Apa Warna Mahkota?' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
(Dari kanan) Mujibu, Muhammad Syafiq dan Noor Azleen ketika Wacana Sinar edisi 456 bertajuk 'Biru Apa Warna Mahkota?' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Mujibu Ab Muis dan Setiausaha Kerja Bersatu Johor, Muhammad Syafiq Aziz.

Mengulas lanjut, Noor Azleen memaklumkan, antara kelebihan yang dimiliki Syed Hussien adalah kemampuan untuk bertutur dalam bahasa Cina, anak tempatan, pernah berkhidmat sebagai ahli majlis dan merupakan anak jati Kluang.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, semua itu membuktikan bahawa UMNO bukan sahaja tidak ketandusan pemimpin malahan mempunyai bakat pelapis yang berkebolehan dan boleh ditawarkan kepada rakyat.

"Jika beliau ada rezeki dipilih sebagai wakil rakyat pada 28 September ini, beliau perlu memanfaatkannya. Jadi wakil rakyat yang efektif dan berkesan dalam mewakili rakyat memperjuangkan nasib serta masa hadapan Mahkota itu sendiri.

"Selepas (melalui) proses itu, pada akhirnya menjadikan beliau mempunyai laluan untuk meyakinkan pimpinan di peringkat negeri dan pusat," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!