Maritim Malaysia selamatkan lima pemancing hanyut

Maritim Malaysia menyelamatkan lima pemancing yang hanyut di laut dekat Pantai Seri Menanti, Muar.
Maritim Malaysia menyelamatkan lima pemancing yang hanyut di laut dekat Pantai Seri Menanti, Muar.
A
A
A

BATU PAHAT - Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan lima pemancing yang terputus hubungan dan hanyut di laut dekat Pantai Seri Menanti, Muar sejak malam Selasa.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, kesemua pemancing berkenaan terputus hubungan apabila jeti yang menghubungkan kelong iaitu tempat memancing dengan daratan musnah dan hanyut akibat cuaca buruk.

"Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 9.40 malam, Selasa apabila salah seorang mangsa, Muhamad Razif Abu Bakar, 33, membuat panggilan kecemasan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat bagi meminta bantuan.

"Sebaik menerima panggilan tersebut, aset Maritim Malaysia telah dihantar ke lokasi seperti yang dimaklumkan.

"Setelah tiba di lokasi, kesemua mangsa dibawa ke Jeti Nelayan Seri Menanti untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut," katanya.

Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 15 hingga 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Mohd Haniff memaklumkan pihaknya juga telah menerima dua aduan awam mengenai dua bot barter trade yang tenggelam di perairan Batu Pahat pada pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Bot KLM Bahtera Jaya.
Bot KLM Bahtera Jaya.

Katanya, bot pertama, KLM Bahtera Jaya dilaporkan tenggelam lebih kurang 0.9 batu nautika Barat Daya Segenting ketika dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Indonesia.

"Siasatan awal mendapati bot tersebut disyaki tenggelam akibat kebocoran pada bahagian enjin.

"Sementara itu, sebuah lagi bot barter trade, KLM Bersama Jaya yang membawa enam kru dari Indonesia menuju ke Batu Pahat turut tenggelam di kedudukan lebih kurang 11.2 batu nautika Barat Daya Benut," katanya.

Bot KLM Bersama Jaya.
Bot KLM Bersama Jaya.

Menurutnya, kesemua mangsa di kedua-dua bot terbabit yang berusia lingkungan 20 hingga 62 tahun berjaya diselamatkan oleh bot barter trade lain yang berada berhampiran ketika kejadian.

"Kesemua mangsa kemudiannya telah dipindahkan ke bot Maritim Malaysia seterusnya dibawa oleh aset agensi ke jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

"Pada masa yang sama, pihak Maritim Malaysia turut melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medivec), memandangkan salah seorang kru bot barter trade tersebut telah diserang angin ahmar dan mangsa telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat, seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Mohd Haniff berkata, berdasarkan daripada ketiga-tiga kejadian yang berlaku dalam tempoh kurang dari 24 jam di perairan Batu Pahat dan Muar itu, Maritim Malaysia menasihatkan masyarakat terutama komuniti maritim supaya menitikberatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut memandangkan keadaan cuaca buruk dan laut bergelora ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!