Pahang timbang tambah insentif buat atlet rangkul pingat Sukma

Wan Rosdy menyampaikan insentif kepada atlet menembak, Cheah Zen Hong. Foto Bernama
Wan Rosdy menyampaikan insentif kepada atlet menembak, Cheah Zen Hong. Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN negeri Pahang pertimbang untuk menaikkan kadar insentif kepada atlet yang berjaya merangkul pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada 2026 nanti.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar kenaikan itu bagaimanapun akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, kenaikan insentif itu perlu seiring dengan sasaran penambahan jumlah pingat pada temasya sukan itu nanti.

"Sasaran pingat pada Sukma di Selangor nanti mesti lebih dari yang berjaya dikutip pada Sukma Sarawak, Ogos lalu.

"Saya yakin sasaran penambahan pingat itu mampu dicapai dengan syarat perancangan dan persediaan perlu dilakukan lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan SUKMA XXI, Sarawak 2024 di sini pada Rabu.

Wan Rosdy (tengah) bersama atlet-atlet yang meraih pingat emas pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukma Sarawak 2024 Kontinjen Pahang pada Rabu. Foto Bernama
Wan Rosdy (tengah) bersama atlet-atlet yang meraih pingat emas pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukma Sarawak 2024 Kontinjen Pahang pada Rabu. Foto Bernama

Wan Rosdy berkata, semua pihak termasuk pengurusan, jurulatih dan atlet juga perlu mengkaji balik setiap kelemahan dan segera perbaikinya dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan kadar baharu insentif itu bagi meningkatkan semangat dan motivasi atlet untuk berusaha menambah bilangan pingat untuk Pahang pada Sukma akan datang," katanya.

Pada 8 Ogos lalu, kerajaan negeri Pahang telah menaikkan kadar insentif pemenang pingat emas Sukma kepada RM6,000 berbanding RM4,000 sebelum ini bagi atlet individu, manakala setiap pemenang pingat emas atlet berpasukan menerima RM2,000 setiap seorang berbanding RM1,000 sebelum ini.

Bagi atlet yang memenangi pingat perak kategori individu menerima insentif RM3,000 manakala RM1,500 bagi kategori berpasukan.

Untuk atlet yang memperoleh pingat gangsa pula menerima insentif RM1,500 bagi kategori individu dan RM1,000 bagi kategori berpasukan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri telah menyampaikan sumbangan RM570,000 untuk Insentif Kemenangan SUKMA XXI, Sarawak 2024.

"Daripada jumlah itu, RM391,000 merupakan insentif kepada 161 atlet Pahang yang berjaya merangkul pingat pada temasya Sukma Ogos lalu.

"Kerajaan negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat walaupun kita berada pada kedudukan kesembilan keseluruhan dengan pungutan 23 emas, 21 perak dan 32 gangsa.

"Seperti mana yang dijanjikan kerajaan negeri, mereka yang berjaya mendapat pingat kita bagi sumbangan melalui insentif ini untuk memberi semangat kepada mereka," katanya.

Atlet menembak, Cheah Zen Hong, 18, yang meraih tujuh pingat emas pada Sukma XXI, penerima tertinggi insentif disediakan kerajaan negeri itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!