Banjir di Utara Semenanjung, penduduk perlu berjaga-jaga

Mangsa banjir disaran ambil langkah berjaga-jaga dan terus peka dengan keadaan sekeliling dari semasa ke semasa. Foto hiasan
Mangsa banjir disaran ambil langkah berjaga-jaga dan terus peka dengan keadaan sekeliling dari semasa ke semasa. Foto hiasan
A
A
A

UTARA Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis kini sedang mengalami bencana banjir yang mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan di negeri tersebut perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Walaupun kejadian seumpamanya pernah berlaku sebelum ini, namun penduduk sekitar perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan terus peka dengan keadaan sekeliling dari semasa ke semasa.

Antara langkah berjaga-jaga yang perlu diambil dari segi amalan kesihatan dan keselamatan diri semasa banjir adalah larang kanak-kanak bermain air banjir, minum air yang dimasak, jaga kebersihan diri dan persekitaran serta pesakit kronik perlu perlu patuh dengan arahan pasukan perubatan.

Ini kerana, mangsa banjir yang berada di kawasan yang dilanda banjir berisiko mendapat penyakit berjangkit seperti cirit-birit, jangkitan bakteria Escherichia Coli atau E-coli serta leptospirosis (penyakit kencing tikus).

Pada Selasa, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkuatkuasa sehingga 19 September ini.

MetMalaysia berkata, berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin yang berlaku di Utara Semenanjung dan Barat Sabah dijangka berterusan sehingga 21 September.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut selain angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan serta Selat Melaka Utara.

Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Seramai 556 penduduk daripada 147 keluarga dipindahkan ke 11 PPS yang dibuka di Pulau Pinang setakat jam 7.30 pagi Rabu susulan bencana banjir di beberapa kawasan di tiga daerah di Seberang Perai.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang antara daerah yang terjejas banjir adalah di Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

Di daerah SPT lima PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti menempatkan 22 mangsa, Dewan Bukit Teh (26), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa (15), SMK Permatang Pasir (33) dan Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah (21).

Sementara di SPS pula, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Sungai Bakap (29) dan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sanglang (39).

Bagi SPU pula, empat PPS dibuka iaitu di SK Lahar Yooi (237), Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan (1), SK Padang Menora (20) dan Dewan Banjir Labuh Banting (113).

Bagi negeri Kedah pula, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,018 mangsa daripada 268 keluarga setakat jam 8 malam pada Selasa.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding 675 mangsa yang dipindahkan ke sembilan PPS di negeri ini setakat jam 5 petang pada Selasa.

Katanya, kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di 11 PPS di negeri ini.

Dalam pada itu, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri Perlis mula dinaiki air dengan penduduk mula dipindahkan ke PPS yang sudah diaktifkan.

Setakat ini, sebanyak 45 mangsa membabitkan 15 keluarga telah dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau dan SK Sena yang dibuka sejak semalam.

Antara kawasan yang terjejas adalah seperti Kampung Titi Besi, Kampung Kubang Gajah, Kampung Alor Setar, Jelempok, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, Kampung Seberang Tambang, Kampung Tebing Tinggi dan beberapa lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!