Wajarkah kembalikan UPSR?

UPSR diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
UPSR diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
A
A
A

PADA 28 Oktober tahun lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengulangi jaminan bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini memberi tumpuan kepada kurikulum 2027 menerusi jelajah atau jerayawara.

Ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan umum mengenai kurikulum persekolahan yang baharu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya UPSR dikembalikan kerana ia menunjukkan keupayaan sebenar pelajar, sebelum melangkah ke peringkat menengah.

Beliau berkata, ia disifatkan wajar kerana terdapat penurunan drastik dari segi pencapaian Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM MRSM) selepas UPSR dimansuhkan.

Isu ini turut mendapat reaksi daripada orang ramai yang mempunyai hujah dan pendapat tersendiri.

SOKONG

Murid tiada matlamat atau sasaran tertentu

Artikel Berkaitan:

Saya setuju sekiranya UPSR dikembalikan kerana murid kini menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara tidak berfokus yang menjadikan mereka tiada matlamat atau sasaran tertentu.

Ada juga pelajar dan ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kehadiran ke sekolah mahupun sesi pembelajaran, kerana bagi mereka guru boleh menilai melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

PBD itu dilaksanakan secara berterusan tanpa ada waktu atau tempoh tertentu seperti yang biasa dilaksanakan dalam peperiksaan tahunan.

Bagi saya, murid akan cenderung bersikap sambil lewa seperti tidak menyiapkan latihan atau tugasan yang diberikan oleh guru.

Projek yang diberikan juga tidak disiapkan sepenuhnya oleh murid-murid, malah ada ibu bapa pula yang terpaksa bersengkang mata melaksanakan tugasan tersebut.

Situasi ini mengakibatkan murid tidak fokus terhadap proses PdP yang berlangsung setiap hari dalam bilik darjah.

Besar harapan saya supaya UPSR dapat dikembalikan di sekolah rendah supaya murid dapat belajar dengan lebih berfokus dan bermotivasi.

Apabila ada peperiksaan besar seperti UPSR, generasi berpendidikan, berdisiplin dan mempunyai hala tuju dapat dilahirkan sebelum mereka melangkah ke dunia persekolahan menengah yang lebih mencabar.

- Pesara, Rosnah Meran, 57

Penerapan nilai murni di rumah berkurangan

Saya setuju sekiranya KPM mengembalikan UPSR kerana pada pandangan saya, penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar di rumah kini semakin berkurangan.

Ini kerana pelajar lebih memilih untuk menggunakan teknologi, yang mana mereka tidak mengendahkan tugasan atau latihan yang diberikan oleh guru.

Pendedahan kepada kandungan negatif di platform media sosial dan murid-murid leka bermain permainan video boleh mengaburkan pemahaman tentang nilai-nilai murni.

Ada ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak mengendahkan pembelajaran anak serta bergantung harap kepada guru.

Selain itu, KPM perlu mengubah silibus pembelajaran supaya ia dipermudahkan dan disesuaikan dengan tahap pendidikan murid.

Dengan adanya peperiksaan seperti UPSR, golongan pendidik akan memfokuskan kepada tajuk dan isi kandungan silibus yang lebih penting kepada murid.

Justeru, saya harap UPSR dapat dikembalikan kerana ia juga mewujudkan sifat daya saing yang sihat antara murid.

- Guru, Sarima Othman, 52

Sarima (kiri) dan Rosnah.
Sarima (kiri) dan Rosnah.

BANGKANG

Saya tidak setuju peperiksaan besar seperti UPSR dikembalikan kerana saya berpandangan bahawa pelajar akan mula keliru dengan sistem pendidikan sedia ada.

Murid akan tetap hadir ke sekolah meskipun tiada peperiksaan yang dijadikan sebagai kayu pengukur bagi tahap pendidikan mereka.

Tidak semestinya perlu dikembalikan UPSR, tetapi KPM boleh mewujudkan sistem pendidikan yang berbeza, sesuai dengan perkembangan semasa.

Pada masa kini, persepsi generasi muda telah berubah, di mana ada pelajar yang mengimpikan untuk menjadi pempengaruh kerana tiada kelulusan spesifik diperlukan bagi kerjaya ini.

Pempengaruh boleh menjana pendapatan dengan hanya menghasilkan kandungan di media sosial.

Namun hakikatnya, mereka tidak mengetahui bahawa sebenarnya kebanyakan penstrim permainan, pempengaruh dan selebriti berjaya disebabkan pendidikan.

Bagi saya, KPM perlu menyediakan satu sistem lain untuk mengukur tahap pendidikan pelajar dan saya yakin dengan keupayaan KPM.

- Pekerja swasta,

Muhammad Shahrul Anuar, 25

Generasi kini cenderung kepada kemahiran

Saya tidak setuju UPSR dikembalikan bukan kerana saya tidak mementingkan akademik tetapi apabila kita memandang jauh ke hadapan, generasi kini lebih cenderung kepada kemahiran.

Bagi saya, guru-guru boleh mengasah kemahiran murid sejak di bangku sekolah kerana UPSR hanya ujian berasaskan akademik semata-mata.

Apabila kita berpandangan jauh, industri sekarang lebih mementingkan kemahiran seperti komunikasi, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Apabila mengembalikan UPSR, ia secara tidak langsung ia akan mengganggu emosi dan tekanan pelajar apabila ‘terpaksa’ belajar untuk peperiksaan.

Saya beranggapan murid perlu diberi tumpuan terhadap pengembangan kemahiran dan kreativiti mereka bukan hanya pencapaian akademik.

Jadi, saya mencadangkan satu sistem penilaian berbeza diwujudkan, yang mana kita boleh menilai murid daripada dua sudut, mereka cenderung terhadap akademik atau kemahiran.

Apabila mereka lebih cenderung ke arah akademik, kita boleh memasukkan mereka ke asrama penuh, manakala murid yang lebih memberikan tumpuan kepada kemahiran, boleh dimasukkan ke institusi bersesuaian bagi memantapkannya.

- Pekerja swasta, Nur Alya Nazirah Nazri, 25

Muhammad Shahrul (kiri) dan Nur Alya Nazirah.
Muhammad Shahrul (kiri) dan Nur Alya Nazirah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!