Tubuh jawatankuasa syariah di peringkat Kerajaan Persekutuan

Dasar patuh syariah bukan sahaja terhad hanya kepada industri perbankan dan pasaran modal, malah merangkumi semua transaksi kewangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Foto hiasan
Dasar patuh syariah bukan sahaja terhad hanya kepada industri perbankan dan pasaran modal, malah merangkumi semua transaksi kewangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Foto hiasan
A
A
A

MALAYSIA sebagai peneraju global dalam kewangan Islam telah mencatatkan kejayaan besar dalam memajukan industri ini.

Penubuhan Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memperkukuh kawal selia dan tatakelola syariah kepada tahap yang membanggakan.

Dasar-dasar yang menyokong industri kewangan oleh oleh Kerajaan Persekutuan juga menunjukkan komitmen penuh agar industri ini berkembang pesat di peringkat domestik dan juga global.

Namun begitu, di peringkat Kerajaan Persekutuan masih belum ada MPS yang khusus untuk mengawal selia tatakelola kewangan Islam bagi memastikan semua transaksi kewangan adalah patuh syariah.

Jika hendak diharapkan kepada Majlis Penasihat Syariah BNM dan SC, kedua-dua institusi ini hanya bertanggungjawab untuk memberi nasihat, memantau, menyelaraskan, menguatkuat kuasa serta mengawal selia aktiviti perbankan, takaful, dan pasaran modal di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Bank Negara Malaysia 2009.

MPS tidak memantau aktiviti kewangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Meskipun terdapat Majlis Pimpinan Kewangan Islam Malaysia (MIFC Leadership Council) yang telah menggantikan peranan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam pada tahun 2019, fungsinya adalah terhad kepada pembangunan strategik, kerjasama antarabangsa, dan meletakkan Malaysia sebagai pusat utama kewangan Islam dunia.

Badan ini tidak berfungsi sebagai badan pemantau pematuhan syariah bagi urusan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Sayang sekali Majlis Pimpinan Kewangan Islam Malaysia ini tidak mengembang dan memperluaskan fungsinya untuk melulus, memantau dan mengaudit transaksi kewangan Islam yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan.

Jika hendak diperluaskan fungsinya, sudah tentu majlis ini perlu dipimpin oleh seseorang yang mempunyai minda syariah dan syariahprenur yang berkebolehan untuk meluluskan dan memantau urusan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Kewangan masih melaksanakan transaksi kewangan yang tidak sepenuhnya patuh syariah di mana kaedah pinjaman secara konvensional masih dilaksanakan.

Masih tiada usaha yang jelas supaya semua pinjaman tersebut dilaksanakan secara patuh syariah.

Pada masa yang sama, Jabatan Perakaunan Negara Malaysia (JANM) masih tidak mempunyai sistem perakaunan yang komprehensif khusus untuk merekod transaksi kewangan berdasarkan prinsip syariah.

Sistem perakaunan sedia ada di JANM adalah lebih tertumpu kepada standard perakaunan konvensional yang digunakan oleh kebanyakan agensi kerajaan, dan tidak ada unit khusus atau jawatankuasa yang memantau serta mengaudit pematuhan syariah dalam transaksi kewangan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Akibatnya, beberapa agensi kerajaan terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk menubuhkan jawatankuasa syariah mereka tersendiri bagi memastikan transaksi kewangan agensi tersebut adalah patuh kepada syariah.

Sebagai contoh adalah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) masih menggunakan instrumen Bay Bithaman Ajil (BBA), instrumen yang kontroversi yang sudah lama ditinggalkan oleh industri perbankan Islam dan pasaran modal Islam.

Masih tiada jawatankuasa syariah yang memantau semua transaksi yang dilaksanakan oleh LPPSA.

Penerima pembiayaan yang beragama Islam sudah tentu mengharapkan pinjaman atau pembiayaan perumahan mereka mestilah mematuhi syariah.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masih menggunakan model insurans konvensional dalam perlindungan sosial, yang semestinya tidak patuh syariah.

Tiada usaha yang jelas untuk mengubah sistem ini kepada model patuh syariah atau takaful.

Pinjaman kredit komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih tiada jawatankuasa syariah yang memantau urusan pinjaman kredit komuniti ini secara syariah.

Kita sudah tentu menyedari bahawa ramai peminjam kredit komuniti ini adalah terdiri daripada peminjam yang beragama Islam.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memerlukan jawatankuasa syariah kerana agensi-agensi kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa syariah mereka sendiri.

Sebagai contoh, TEKUN dan YAPEIM telah menubuhkan jawatankuasa syariah mereka tersendiri.

Namun, tiada badan atau jawatankuasa pusat yang meluluskan, mengawal selia, memantau, dan mengaudit aktiviti jawatankuasa syariah bagi setiap agensi kerajaan dan transaksi kewangan Kerajaan Persekutuan seperti mana Majlis Penasihat Syariah BNM dan SC melaksanakan kawal selia terhadap jawatankuasa syariah di institusi perbankan dan pasaran modal agar patuh kepada prinsip syariah.

Kerajaan Persekutuan juga belum mempunyai pelan induk yang jelas tentang pelaksanaan sistem kewangan Islam dalam urusan kewangan harian mereka.

Pelan induk ini penting untuk merangka gerak kerja yang bersepadu bagi memastikan semua transaksi kewangan kerajaan mematuhi prinsip syariah.

Pelan ini adalah perlu untuk merancang dan menilai kedudukan industri kewangan Islam secara menyeluruh.

Dasar patuh syariah bukan sahaja terhad hanya kepada industri perbankan dan pasaran modal, malah merangkumi semua transaksi kewangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, disarankan agar sebuah jawatankuasa syariah di peringkat Kerajaan Persekutuan ditubuhkan.

Jawatankuasa ini bukan sahaja perlu meluluskan transaksi kewangan kerajaan, tetapi juga mengaudit dan memantau semua transaksi, termasuk pinjaman, pelaburan, dan perolehan, bagi memastikan ia selaras dengan prinsip syariah.

Jawatankuasa syariah ini juga berperanan sebagai penasihat dalam merangka dasar kewangan Islam yang patuh syariah.

Dengan penubuhan jawatankuasa ini, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan kerajaan dapat dipertingkatkan.

Dr. Shahrul Azman Abd Razak merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Kerjasama Awam Swasta

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!