Tiada haiwan hidup, produk diimport dari Shaoyang, China
PUTRAJAYA - Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari Shaoyang, China sebaliknya mengimport keratan ayam daripada loji pemprosesan di Liao-cheng, Shangdong iaitu kira-kira 1,313 kilometer dari lokasi penularan wabak selesema burung H5N1.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, China telah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit H5N1.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan World Animal Health Organisation (OIE) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari semasa ke semasa.
“Jabatan sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1.
ARTIKEL BERKAITAN: Wabak selesema burung H5N1 pula menular di China
“Setakat ini tiada sampel yang positif. Langkah berjaga-jaga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap konsainan untuk diuji,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kelmarin, media melaporkan pemerintah China mendedahkan berlaku penularan wabak selesema burung H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang di wilayah selatan Hunan.
Kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam yang diternak di ladang itu dilaporkan mati akibat jangkitan virus tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!