Al Jazeera dedah empayar harta global luar biasa bekas menteri Bangladesh

Saifuzzaman
Saifuzzaman
A
A
A

UNIT siasatan organisasi berita antarabangsa, Al Jazeera membuat pendedahan bagaimana seorang bekas menteri kerajaan dari Bangladesh membina empayar hartanah bernilai setengah bilion dolar hanya melalui gaji AS$13,000 (RM55,000) yang diterimanya sebagai ahli politik.

Kekayaan luar biasa yang dikaut bekas Menteri Tanah Bangladesh, Saifuzzaman Chowdhury didedahkan dalam dokumentari "The Minister's Millions" berdurasi 25 minit.

Berdasarkan laporan itu, Saifuzzaman yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina didakwa membeli lebih 360 hartanah mewah di United Kingdom bernilai AS$250 juta (RM1 bilion). Kekayaan yang diperoleh Saifuzzaman itu mengundang persoalan Al Jazeera berikutan undang-undang mata wang yang ketat di Bangladesh mengehadkan rakyat daripada membawa keluar AS$12,000 setahun dari Bangladesh.

Bahkan, dalam masa sama, peraturan kerajaan yang ketat melarang menteri daripada memegang jawatan pengarah atau mengaut keuntungan daripada perniagaan swasta.

Siasatan dan penyamaran Al Jazeera turut mendedahkan obsesi Saifuzzaman mengumpul hartanah turut membawanya mengumpul aset menjangkau Dubai, New York, Singapura dan Malaysia.

Ahli politik itu turut berbangga dengan hubungan akrabnya dengan Sheikh Hasina.

"Ayah saya sangat rapat dengan Perdana Menteri (Sheikh Hasina), sebenarnya, dan saya juga... dia bos saya... dia tahu saya ada perniagaan di sini (di Britain)."

Pembelian hartanah Saifuzzaman meningkat pesat pada 2017 apabila beliau mengasaskan syarikat di UK dan pertumbuhan perniagaannya meningkat pada 2019 apabila dilantik sebagai menteri kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sheikh Hasina berada dalam buangan di India berikutan tindakan keras kerajaannya terhadap protes pelajar pada Julai lalu sekali gus menyebabkan ramai menterinya termasuk Saifuzzaman meninggalkan negara itu.

Pihak berkuasa Bangladesh kini menyiasat dakwaan Saifuzzaman telah melakukan pengubahan wang haram bernilai jutaan dolar di UK selain membeku akaun banknya dan mengawal bank milik keluarganya, UCBL, untuk melindungi wang pendeposit.

Menyamar sebagai pelabur hartanah, wartawan Al Jazeera bertemu menteri itu tahun lalu di rumahnya di London bernilai AS$14 juta (RM59 juta).

Dalam perteuan itu, beliau berbangga bercakap mengenai kegemarannya membelanjakan ribuan dolar untuk mendapatkan kasut buatan tangan dan sut Itali yang ditempah dari kedai-kedai terkemuka di London.

Ahli politik itu turut membawa wartawan yang melakukan penyamaran itu dengan meninjau kediamannya di London yang turut menempatkan pawagam, gimnasium, lif peribadi dan tempat letak kereta bawah tanah yang selamat untuk kereta Rolls-Royce baharunya.

Saifuzzaman memberitahu Al Jazeera, kesemua hartanahnya dibeli dengan dana yang diperoleh oleh perniagaan sahnya di UK, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat. - Al Jazeera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!