Penunggang maut, dua motosikal bertembung
HULU SELANGOR - Seorang penunggang maut manakala seorang lagi parah apabila dua motosikal bertembung dalam kejadian kemalangan di Kampung Serigala Tengah 1 di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden, Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kemalangan itu pada jam 10.30 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 40 tahun menunggang motosikal jenis Honda C70 selepas membuang sampah di Masjid Selisik.
"Tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dari arah bertentangan telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Asri berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
"Seorang lagi penunggang motosikal berusia 21 tahun berada dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Slim River, Perak," katanya.
Dalam kes berasingan, Mohd Asri berkata, seorang penunggang basikal warga India maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur–Ipoh di sini pada Rabu.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dan basikal pada jam 9.20 malam.
"Wanita berusia 36 tahun yang memandu kereta berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah berlanggar dengan sebuah basikal dari arah bertentangan," katanya.
Beliau berkata, penunggang basikal berusia 40 tahun itu tercampak ke atas jalan raya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!