PRK Mahkota: Pilih pemimpin benar-benar layak, usah ikut emosi

Megat Zulkarnain (empat dari kanan) ketika bertemu dengan Jentera UMNO Negeri Selangor di PDM Taman Ilham pada malam Rabu.
Megat Zulkarnain (empat dari kanan) ketika bertemu dengan Jentera UMNO Negeri Selangor di PDM Taman Ilham pada malam Rabu.
A
A
A

KLUANG - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan agar memanfaatkan peluang diberikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dan bertanggungjawab.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, pengundi seharusnya membuat pilihan secara rasional dan bukannya secara emosi serta tidak mempercayai fitnah.

Menurutnya, pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, akan menjadi jambatan kepada segala permasalahan rakyat dalam DUN Mahkota.

Selain itu katanya, di belakang Syed Hussien ada seorang Menteri Besar yang dikasihi rakyat dan datangnya dari UMNO-BN manakala di peringkat kerajaan Persekutuan pula adanya Kerajaan Perpaduan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menterinya.

"Sebab itu untuk memilih nanti adalah satu perkara penting bukan kerana emosi percaya kepada fitnah, namun kerana mahu melihat selepas 28 September.

"Apa yang kita mahukan seorang wakil rakyat yang mampu jadi mata, telinga dan tangan untuk membantu rakyat dan segala permasalahan rakyat dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bertemu dengan Jentera UMNO dari Negeri Selangor di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham pada malam Rabu.

Menurut beliau lagi, tanpa merendahkan kemampuan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar bahawa sekiranya ditakdirkan menang hanya akan menjadi wakil rakyat pengimbang.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya dan yakin bahawa ADUN terdahulu (Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain) telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di sini dan sudah tentu akan menjadi ingatan mereka," katanya.

Mengulas tentang jentera UMNO daripada Selangor, Megat Zulkarnain menyatakan tiga Bahagian UMNO masing-masing satu daripada Bahagian Kuala Selangor, Bahagian Selayang dan Bahagian Tanjung Karang.

Turut serta sayap parti daripada Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang telah berkampung di Mahkota sebaik selepas penamaan calon Sabtu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!