Agong berangkat ke China sempena Lawatan Negara

Sultan Ibrahim berangkat ke China pagi ini untuk Lawatan Negara selama empat hari. Foto Bernama
Sultan Ibrahim berangkat ke China pagi ini untuk Lawatan Negara selama empat hari. Foto Bernama
A
A
A

SUBANG - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke China pagi ini untuk Lawatan Negara selama empat hari atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Ia merupakan lawatan pertama Seri Paduka Baginda ke republik itu selepas menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari.

Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada kira-kira 9.40 pagi.

Turut mengiringi lawatan Yang di-Pertuan Agong ke China ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Anwar (tiga dari kanan) hadir bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda. Foto Bernama
Anwar (tiga dari kanan) hadir bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda. Foto Bernama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.

Sebelum berangkat, Sultan Ibrahim berkenan menerima Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada enam pegawai dan 114 anggota, sebelum lagu Negaraku dimainkan diiringi tembakan meriam 21 das.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ibrahim akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan bersama Xi serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan diraikan oleh Presiden China itu.

Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di Subang pada kira-kira 9.40 pagi pada Khamis. Foto Bernama
Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di Subang pada kira-kira 9.40 pagi pada Khamis. Foto Bernama

Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang, selain Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.

Pada lawatan ini juga, Sultan Ibrahim turut dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di China serta berkenan menamakan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena dengan nama Seri Paduka Baginda sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Wisma Putra, Lawatan Negara berkenaan memberi peluang yang sangat baik bagi Malaysia dan China untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan antara kedua-dua negara kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik dan makmur demi manfaat rakyat masing-masing berdasarkan prinsip saling mempercayai serta hormat-menghormati.

Lawatan ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!