[VIDEO] 'Baru terima draf, sudah riuh di luar' - Saifuddin Nasution

A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak tindakan pembangkang yang memilih untuk bercakap dengan media berbanding berunding berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Saifuddin Nasution berkata, situasi tersebut jauh berbeza dengan perbincangan antara PH yang ketika itu menjadi pembangkang dengan kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, semasa proses berkenaan PH dan kerajaan ketika itu duduk berunding melalui beberapa pusingan sehingga kedua-dua pihak bersetuju dengan kandungan dokumen berkenaan.

“MoU kali ini? Baru terima draf dah riuh kat luar. Betullah kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kalau pilih nak bercakap dengan media tak perlu lah nak berunding,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang yang dilaporkan menolak MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Fadillah berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan itu menerusi laporan media.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu bersedia membincangkan kembali MoU peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang jika Kerajaan Perpaduan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa.

Saifuddin Nasution turut mengimbas pengalamannya ketika mewakili PH bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; bekas Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo untuk mengadakan rundingan berkaitan MoU pada September 2021.

Menurutnya, wakil kerajaan ketika itu pula diwakili oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ulas beliau, untuk permulaan kerajaan akan mengemukakan draf MoU kepada PH untuk dibincangkan dalam Majlis Presiden gabungan tersebut sebelum memberi maklum balas mengenainya.

“Pihak kerajaan meneliti maklum balas tersebut dan kami duduk berunding mencapai titik temu.

“Kami meterai persetujuan itu dalam satu majlis di parlimen dihadiri Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!