Laksa, kuetiau guna logo halal tidak sah dirampas

Pegawai penguat kuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar memeriksa produk dihasilkan sebuah kilang memproses makanan dalam satu operasi bersepadu melibat beberapa agensi di Sungai Siput pada Rabu.
Pegawai penguat kuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar memeriksa produk dihasilkan sebuah kilang memproses makanan dalam satu operasi bersepadu melibat beberapa agensi di Sungai Siput pada Rabu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kuala Kangsar merampas lebih 3,000 bungkus laksa dan kuetiau kerana menggunakan logo halal tidak sah dalam satu operasi bersepadu di sebuah kilang memproses makanan di Sungai Siput pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) itu mengesan kesalahan tersebut selepas pemeriksaan dijalankan di kilang berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir di kilang tersebut mendapati terdapat logo halal pada bungkusan produk laksa dan kuetiau keluaran kilang tersebut.

"Pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

"Susulan itu sebanyak 3,020 unit produk laksa dan kuetiau yang siap dibungkus dan tiga gulungan bekas plastik tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamalludin berkata, nilai keseluruhan barang rampasan produk laksa dan kuetiau yang difahamkan untuk edaran jualan sekitar Perak dan Pulau Pinang itu dianggarkan berjumlah RM5,828.50.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Perkara 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi kesalahan itu, hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan kepada pertubuhan perbadanan jika sabit kesalahan.

Pegawai penguat kuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar memeriksa dengan teliti produk dihasilkan sebuah kilang memproses makanan dalam satu operasi bersepadu melibat beberapa agensi di Sungai Siput pada Rabu.
Pegawai penguat kuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar memeriksa dengan teliti produk dihasilkan sebuah kilang memproses makanan dalam satu operasi bersepadu melibat beberapa agensi di Sungai Siput pada Rabu.

Beliau berkata, jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kamalludin berkata, selain tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, operasi bersepadu tersebut juga berjaya mengesan dua kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan kompaun sebanyak RM1,000.

Justeru itu beliau mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran tanpa kebenaran atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!