GISBH: Tiga pembantu pengajar tidak mengaku lakukan amang seksual fizikal

Dari kanan: Ahmad Nadzful, Muhammad Habib dan Muhammad Khunnais diiringi polis ketika hadir ke Mahkamah Seremban.
Dari kanan: Ahmad Nadzful, Muhammad Habib dan Muhammad Khunnais diiringi polis ketika hadir ke Mahkamah Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak.

Tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, masing-masing berdepan lima, enam serta tiga pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua mereka telah melakukan suatu amang seksual fizikal dengan sentuhan fizikal secara seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki yang tiga daripadanya merupakan adik-beradik, berusia antara sembilan hingga 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara tahun 2022 hingga 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Muhammad Habib Noh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun dengan membuatkan kanak-kanak itu melakukan sentuhan fizikal secara seksual dengan cara memegang kemaluan tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan beliau mencadangkan RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Bapa kepada Muhammad Habib Noh merayu anaknya diberi jaminan rendah kerana dia masih budak manakala bapa Muhammad Khunnais Fathie memohon maaf kepada mahkamah terhadap apa yang berlaku dan turut memohon jaminan minimum kerana tidak lagi bekerja.

Abang kepada Ahmad Nadzful Izham pula memohon jaminan dikurangkan kerana ibu bapa mereka tidak sihat.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Kesemua tertuduh turut diminta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan boleh dihubungi pada bila-bila masa.

Sebutan semula kes 30 Oktober depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!