Sarjan dituduh minta suapan RM1,500

Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas sebutan kesnya selesai dibacakan dalam Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas sebutan kesnya selesai dibacakan dalam Mahkamah Sesyen pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan meminta rasuah RM1,500 sebagai dorongan melepaskan tahanan kes memiliki air ketum, Februari tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Anuar, 34, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa meminta suapan itu daripada seorang lelaki sebagai dorongan bagi melepaskan dua individu termasuk anak kepada lelaki terbabit yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes memiliki air ketum.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Kuantan kira-kira jam 6.17 petang pada 17 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang paling tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry di hadapan Hakim, Sazlina Safie.

Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan Hanif diberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain diarah menyerahkan passport kepada mahkamah dan dikehendaki hadir ke Pejabat SPRM untuk lapor diri pada setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!