10 perjalanan feri ke Langkawi, Kuala Kedah dibatalkan
ALOR SETAR - Sebanyak 10 perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak tinggi di perairan Kuala Kedah pada Khamis.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, semua operasi feri bagi laluan berkenaan dibatalkan bagi hari ketiga berikutan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer perjam (km/j) serta ombak setinggi 3.5 meter.
Katanya, operasi berkenaan terpaksa dibatalkan kerana boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal.
"Sebuah feri yang bertolak dari Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 8.30 pagi tadi (Khamis) yang membawa 589 penumpang juga terpaksa berpatah balik.
“Sebanyak lima feri dari laluan Langkawi ke Kuala Kedah dibatalkan hari ini (Khamis) melibatkan seramai 2,472 penumpang iaitu feri pada jam 8.30 pagi; 10.30 pagi; 12 tengah hari; 1.30 tengah hari dan 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Katanya, bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi pula sebanyak lima feri yang melibatkan 1,041 penumpang terpaksa dibatalkan iaitu feri pada jam 10 pagi; 11.30 pagi; 1.30 tengah hari; 3 petang dan 4.30 petang.
"Lencongan perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis, Perlis akan dilakukan berdasarkan keupayaan terminal berkenaan menerima jumlah feri pada satu-satu masa berdasarkan kelulusan Jabatan Laut Malaysia," katanya.
Menurutnya, penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan dan bagi penumpang yang membuat pembelian insurans bernilai RM1.08 boleh membuat tuntutan insurans.
"Bagi feri yang ditunda antara empat hingga lapan jam, penumpang akan menerima tuntutan insurans berjumlah RM50; bagi feri ditunda melebihi lapan jam (RM200); perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (sehingga RM1,000); kehilangan bagasi (sehingga RM200); kematian dan hilang supaya kekal akibat kemalangan (RM30,000) dan perbelanjaan pengebumian bagi semua kes berjumlah RM500," katanya.
Baharin berkata, tuntutan insurans boleh dilakukan dengan menghantar butiran tuntutan beserta dokumen sokongan kepada ANcare@agentnow.com.my.
"Sebarang pertanyaan boleh dibuat bermula jam 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat.
"Perjalanan keluar masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis masih selamat untuk semua operasi perkhidmatan feri dan feri roll-on roll-off (RORO) ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!