Ferdi Kadıoglu pacu kemaraan Brighton
BRIGHTON kendalian Fabian Hurzeler mara ke pusingan keempat Piala Liga, namun bergelut selepas membuang kelebihan dua gol ke atas Wolverhampton dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Komuniti American Express.
Jaringan Carlos Noom Quomah Baleba (m-14) diikuti Simon Adingra (m-31) meledak dua gol awal bagi memberikan keselesaan kepada The Seagulls.
Namun Wolverhampton kendalian Gary O'Neil tidak mengalah merapatkan kedudukan penghujung separuh masa pertama hasil jaringan Goncalo Manuel Ganchinho Guedes (m-44).
Pemain gantian kelahiran Turkiye, Ferdi Erenay Kadıoglu kemudian kembali melebarkan kedudukan buat Brighton (m-85) sebelum Tommy Doyle menjadikan kedudukan 3-2 minit ke-91.
“Kami tidak menguruskan permainan seperti sepatutnya yang dalam perancangan, malah kami tidak mengawalnya dalam beberapa situasi. Terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk lebih berdaya saing lagi," kata Hurzeler.
Sementara itu, O'Neil berkata: “Kami tidak bermain sebaik yang sepatutnya pada separuh masa pertama.
“Kami membetulkan beberapa kesilapan separuh masa pertama pada separuh masa kedua, namun kesilapan itu terbukti menentukan keputusan penghujung perlawanan."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!