Kanak-kanak OKU hilang ditemukan lemas

Parit di mana mangsa ditemukan lemas.
Parit di mana mangsa ditemukan lemas.
A
A
A

JERTIH - Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang petang Rabu, ditemukan maut dipercayai lemas di sebuah tali air di Taman Usrah dekat Kampung Renek di sini kira-kira 9.02 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, kehilangan mangsa, Ibrahim Adham Muhammad, 6, dari Kampung Kepala Gajah, Renek disedari bapanya, Muhammad Rajab, 36, kira-kira pukul 6.30 petang.

"Mangsa hilang secara tiba-tiba ketika ahli keluarga difahamkan sedang mengadakan sambutan hari jadi," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, setelah gagal menjumpai mangsa di sekitar kawasan kampung, bapa mangsa kemudian membuat laporan kehilangan kanak-kanak itu di Balai Polis Kampung Raja.

Abdul Rozak berkata, usaha mencari mangsa diteruskan sebelum ditemukan penduduk kampung yang turut melakukan pencarian di dalam parit kira-kira 20 meter di belakang rumah datuk mangsa.

"Seorang daripada penduduk berkenaan ternampak kaki mangsa di permukaan air sebelum mengangkatnya ke tepi parit, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit terbabit sebelum lemas," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!